BELANJAWAN JOHOR 2026 FUTURISTIK DAN INKLUSIF

Foto arkib MDJ

Oleh YB Tuan Lee Ting Han
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor
1. Kerajaan Negeri telah membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.54 bilion, menjadikannya belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri, sambil mengekalkan belanjawan lebihan untuk tahun keempat berturut-turut. Dengan mengandungi 260 inisiatif yang dirancang secara futuristik, pragmatik dan inklusif, belanjawan ini menegaskan Johor kini berada di fasa penting dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial secara menyeluruh.
2. Belanjawan yang berteraskan agenda Maju Johor 2030 ini, merangkumi enam teras utama iaitu jaringan keselamatan sosial, pembangunan ekonomi, pentadbiran cekap, kelestarian alam sekitar dan kebersihan, pembangunan infrastruktur serta pembangunan Orang Muda Johor.
3. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, ekonomi negeri telah berjaya menunjukkan momentum kukuh dalam tempoh tiga setengah tahun pentadbiran. Kita berjaya menarik pelaburan berjumlah RM253 bilion, mewujudkan lebih 65,000 peluang pekerjaan, mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia pada kadar 6.4 peratus pada tahun 2024, serta mencatat nilai jualan sektor pertanian terunggul di peringkat kebangsaan.
4. Selain itu, kadar pengangguran juga kekal rendah pada paras 2.3 peratus. Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan asas fiskal belanjawan, malah membuktikan bahawa pendekatan tadbir urus berhemah dan strategi pemudahcaraan pelaburan yang agresif adalah tepat dan berkesan.
5. Belanjawan 2026 ini juga turut mengambil peluang daripada perkembangan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dengan fokus memperkukuh daya saing global melalui peningkatan industri, pemadanan rantaian bekalan, pembangunan ekosistem saling melengkapi serta promosi pelaburan antarabangsa.
6. Strategi lain termasuk penganjuran Forum Ekonomi Johor, pemadanan perniagaan berimpak tinggi dan usaha meningkatkan pengiktirafan global terhadap jenama ‘Made in Johor’. Pendigitalan proses perkhidmatan pelaburan juga diperkasa bagi menyediakan platform sehenti yang pantas, telus dan efisien, sekali gus menjadikan Johor hab serantau yang cekap dan menarik pelaburan antarabangsa.
7. Pembangunan bakat dan pendidikan turut diberi perhatian utama, meskipun ia bidang kuasa Persekutuan. Belanjawan tahun ini menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah negeri untuk pendidikan dan modal insan. Dari prasekolah hingga universiti, serta melalui bantuan kewangan, reformasi struktur dan program bimbingan, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan tiada anak Johor tercicir akibat latar belakang keluarga khususnya dari golongan berpendapatan rendah.
8. Antara langkah yang diperkenalkan termasuk bantuan awal persekolahan, menaik taraf kemudahan sekolah, pembangunan Sekolah Rintis Bangsa Johor fasa kedua, pinjaman dan biasiswa pengajian tinggi, bantuan komputer riba, program bimbingan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), serta inisiatif makanan pelajar. Johor juga menekankan pembangunan ekosistem bakat teknologi melalui kerjasama universiti dan agensi Persekutuan, khususnya dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), inovasi teknologi dan latihan kemahiran industri.
9. Kita bakal menubuhkan Majlis Kecerdasan Buatan (AI) Johor untuk menyelaras pembangunan AI, pusat data dan aplikasi industri, serta memperkukuh latihan bakat teknologi. Sektor teknologi dilihat sebagai pemacu pertumbuhan baharu, memanfaatkan penyelidikan universiti, aplikasi industri dan kelebihan JS-SEZ, menjadikan AI bukan sekadar slogan, tetapi bahasa ekonomi masa depan yang kritikal untuk persaingan negeri dalam tempoh sedekad akan datang.
10. Tahun 2026 juga diumumkan sebagai Tahun Melawat Johor. Justeru, belanjawan kali ini turut memperkukuh pembangunan sektor pelancongan, budaya serta mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), termasuk pemasaran antarabangsa, kenaikan taraf tarikan pelancongan, penganjuran acara berskala besar dan sokongan tenaga kerja industri pelancongan.
11. Johor juga akan menjadi tuan rumah forum bandar pintar, pameran perdagangan, kejohanan sukan dan festival budaya, menjadikan Tahun Melawat Johor 2026 sebagai platform untuk memperkenalkan negeri ini kepada dunia. Gabungan tarikan ekopelancongan, Legoland, Desaru Coast, warisan budaya, gastronomi dan komuniti tempatan dijangka meningkatkan keterlihatan global Johor serta membawa limpahan ekonomi yang signifikan.
12. Justeru, Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar menangani keperluan semasa, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk mencapai visi Maju Johor 2030. Belanjawan ini mencerminkan kestabilan dasar, kesinambungan strategi dan keyakinan rakyat, menjadikan aspirasi Maju Johor 2030 bukan sekadar slogan, tetapi hala tuju yang semakin nyata dan ia sememangnya boleh dicapai.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


