BANGSA JOHOR, WASPADA SUSULAN AMARAN HUJAN BERTERUSAN

Kerajaan Negeri mengingatkan penduduk Segamat dan Tangkak agar terus berwaspada susulan amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh MET Malaysia bagi 28–29 November 2025. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri hari ini menggesa seluruh Bangsa Johor khususnya penduduk di daerah Segamat dan Tangkak supaya sentiasa kekal berwaspada susulan amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi tempoh 28 hingga 29 November 2025.

 

Kerajaan Negeri bersama semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan tindakan segera akan dapat diambil sekiranya situasi cuaca menjadi bertambah buruk.

 

Usaha kesiapsiagaan ini merangkumi pemantauan paras air sungai secara berterusan, penyediaan logistik yang mencukupi serta penyelarasan operasi di kawasan berisiko bagi memastikan bantuan akan dapat digerakkan segera tanpa sebarang kelewatan.

 

Amaran ini dikeluarkan berikutan pergerakan Sistem Cuaca Bertekanan Rendah yang berada di Selat Melaka dan ia dijangka merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang, sekali gus boleh memberi potensi hujan berterusan di kawasan Utara Johor.

 

Bangsa Johor juga diseru supaya sentiasa mendapatkan maklumat rasmi, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengambil langkah keselamatan sewajarnya, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang mudah dinaiki air atau pernah terjejas ketika musim tengkujuh.

 

#JohorSafeZone
#METMalaysia
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor