YANG DI-PERTUAN AGONG RASMI PUSAT KANSER TUNKU LAKSAMANA JOHOR

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, di Larkin hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan negara menerusi penubuhan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang dirasmikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Larkin, hari ini.
Pusat kanser khusus bernilai RM500 juta yang akan dikendalikan oleh Precious Hospitals Sdn. Bhd., syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan berpengkalan di Singapura ini bakal menawarkan kemudahan diagnostik dan rawatan berteknologi tinggi bagi memperkukuh perkhidmatan onkologi melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
Kemudahan tersebut menempatkan sebanyak 200 katil serta dilengkapi pusat PET-CT dan fasiliti perubatan nuklear termasuk siklotron pertama di luar Lembah Klang bagi membolehkan pengeluaran radioisotop perubatan untuk tujuan pengimejan dan terapi kanser sekali gus meningkatkan pengesanan awal, memperluas akses rawatan dan mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan radioisotop dari lokasi luar negeri.
Penubuhan pusat kanser khusus ini turut dijangka menjadi pemangkin baharu kepada potensi Johor sebagai destinasi utama pelancongan perubatan, menarik lebih ramai pesakit dari dalam dan luar negara melalui perkhidmatan saringan dan rawatan yang lebih tersusun, komprehensif dan berdaya saing.
Selaras komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluas akses kesihatan, pusat ini diyakini mampu memperkukuhkan ekosistem kesihatan Johor dengan menyediakan pilihan lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan kanser yang lengkap dan berkualiti di samping memastikan kebajikan serta akses pesakit terus menjadi keutamaan.
Untuk rekod, Johor sememangnya memiliki kepakaran onkologi melalui kemudahan seperti Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pakar Regency di Johor Bahru, namun, rawatan tersebut disediakan dalam ekosistem hospital umum dan bukan melalui pusat rawatan kanser khusus seperti Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor.
Mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Turut berangkat, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, serta YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Berangkat sama, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
#JohorSafeZone
#PusatKanserTunkuLaksamanaJohor
#SistemKesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



