RM2.5 JUTA SUMBANGAN BANGSA JOHOR DISALURKAN MENERUSI MISI BANTUAN KASIH JOHOR-PALESTIN 3.0

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Program Bantuan Kotak Makanan bagi Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin 3.0 di Abou Rawash, Giza, Kaherah. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#Kaherah, Mesir – Kutipan sumbangan Tabung Kasih Johor-Palestin berjumlah RM2.5 juta yang diterima daripada Bangsa Johor sebagai tanda solidariti disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan menerusi Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin 3.0.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,066 kotak makanan telah disediakan di sebuah gudang di Abou Rawash, Giza, Kaherah, sebelum dihantar masuk ke Gaza dengan kerjasama Egyptian Red Crescent yang dijangka memanfaatkan lebih 10,000 penduduk Palestin.
Kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti tepung, bijian gandum, kekacang, minyak masak, gula, garam, pasta, puri tomato, jem buah-buahan dan uncang teh ini dijangka mula dihantar masuk ke Gaza pada minggu hadapan.
Selain itu, pelbagai bentuk sumbangan lain turut disediakan meliputi inisiatif Dapur Kasih Johor yang menyediakan hidangan bermasak di Gaza dengan peruntukan RM1.032 juta, Bantuan Musim Sejuk berjumlah RM197,340 dan Perbekalan Air Bersih sebanyak RM205,920.
Ia juga termasuk Persiapan Ramadan bernilai RM95,400, Kotak Makanan dari Kaherah melibatkan peruntukan RM372,252 serta Bantuan ke Kem Pelarian berjumlah RM621,188 dengan jangkaan lebih 350,000 penerima manfaat.
Manakala, peruntukan sebanyak RM372,500 yang sebelum ini dirancang bagi Penyediaan Khemah Kampung Johor pada tahun 2024 akan ditukar kepada Program Pemulihan Klinik Pesakit Luar Hospital Al-Aqsa bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Palestin atas nasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR).
Sebelum ini, seramai 200 keluarga di Kem Pelarian Marka (Hittin), Amman, Jordan telah menerima bantuan musim sejuk dan kotak makanan kering pada awal misi ini, serta usaha yang sama dijangka diteruskan secara berfasa melibatkan pengagihan sebanyak 2,000 kotak makanan dan selimut.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan perasmian Program Bantuan Kotak Makanan bagi Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin 3.0 di Abou Rawash, Giza, Kaherah.
Turut hadir, YB Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); YB Dato’ Haji Salehuddin Hassan, Ahli Majlis MAINJ; YBhg. Tuan Haji Nasri Md. Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); YBhg. Tuan Haji Mohd. Radzi Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ serta YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Haji Shamsudin, Pengarah Urusan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Hadir sama, YBhg. ASP Mohd Refaie Mohsin, Setiausaha Pertama (Keselamatan), Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan YBrs. Encik Jismi Johari, Presiden MAHAR.
#JohorSafeZone
#TabungKasihJohor-Palestin3.0
#BantuanMusimSejuk
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



