LEBIH 3,000 CCTV PINTAR PERLUAS PEMANTAUAN KESELAMATAN THE GREATER JB

Sebanyak 1,542 unit CCTV sudah beroperasi di kesemua empat PBT di wilayah metropolitan tersebut iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu). | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan ‘The Greater Johor Bahru’ terus memperkasakan aspek keselamatan bandar selari dengan agenda Johor Selamat menerusi sistem pemantauan bandar pintar melibatkan pemasangan lebih 3,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) sehingga suku keempat tahun ini.

 

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,542 unit CCTV sudah beroperasi di kesemua empat PBT di wilayah metropolitan tersebut iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, MBIP turut membangunkan ‘Iskandar Puteri Command Centre’ (IPCC) berfungsi sebagai pusat kawalan operasi bersepadu bandar untuk memantau keselamatan, pengurusan trafik, pengurusan bencana serta penguatkuasaan secara lebih sistematik, bersepadu dan responsif.

 

Seiring dengan pengoperasian IPCC, sebanyak 500 unit CCTV pintar akan mula beroperasi secara berperingkat bermula penghujung suku pertama tahun ini, dengan jumlah keseluruhan disasarkan sehingga 2,000 unit bagi memperluaskan liputan pemantauan keselamatan bandar di seluruh kawasan pentadbiran MBIP.

 

Pada masa sama, MBPG telah melaksanakan pemasangan sebanyak 340 unit CCTV pintar berteknologi kecerdasan buatan (AI) sejak awal tahun lalu, melibatkan penggunaan kamera jenis ‘Pan-Tilt-Zoom’ (PTZ) 360 darjah dan kamera statik di lokasi-lokasi strategik yang telah dikenal pasti berdasarkan keperluan keselamatan serta trafik.

 

Di kawasan pentadbiran MBJB pula, sebanyak 500 unit CCTV kini sedang beroperasi dan jumlah tersebut akan terus ditambah secara berperingkat sehingga mencapai sasaran keseluruhan 2,000 unit bagi memperluaskan liputan pemantauan keselamatan bandar raya Johor Bahru.

 

Sementara itu, pengoperasian sistem CCTV telah dilaksanakan secara berfasa dengan 95 unit sudah siap dipasang pada tahun 2024 dan diikuti 107 unit lagi pada tahun 2025 sekali gus menjadikan keseluruhan 202 unit CCTV telah beroperasi setakat ini di kawasan pentadbiran MPKu.

 

Pendekatan bersepadu ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda Johor Selamat dan ‘Johor Smart City’ selari kerangka perancangan bandar mampan serta pintar digariskan oleh PLANMalaysia bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat terus terpelihara.

 

#JohorSafeZone
#JohorSelamat
#JohorSmartCity
#GreaterJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor