SWM LAKSANA OPERASI SISA PEPEJAL AIDILFITRI BERMULA 15 HINGGA 22 MAC

SWM Environment Sdn. Bhd. komited memastikan kelancaran perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di 15 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor sempena persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri, yang akan dilaksanakan lebih awal bermula 15 hingga 22 Mac. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru- SWM Environment Sdn.Bhd (SWM Environment) komited untuk terus memastikan kelancaran perkhidmatan pengurusan sisa pepejal bagi persediaan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.
Perkhidmatan ini akan melibatkan 15 kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Johor yang mula dilaksanakan sehari lebih awal bermula pada 15 hingga 22 Mac ini.
Operasi kutipan sisa pepejal tersebut dilaksanakan lebih awal bertujuan untuk memberi fokus kepada usaha mengatasi peningkatan jumlah janaan sisa pepejal, khususnya menjelang sambutan hari lebaran pada 1 Syawal.
Selain itu, SWM Environment turut memberi tumpuan terhadap 120 lokasi hotspot yang melibatkan kawasan padat dengan penduduk beragama Islam seperti di Bandar Baru Uda, Kampung Melayu Majidee dan Program Perumahan Rakyat (PPR) Stulang.
Bagi melancarkan operasi kutipan, sebanyak 620 buah kenderaan berjentera meliputi lori kompaktor, lori ‘open-tipper’ dan lori ‘roll-on roll-off’ (RORO) bersiap sedia untuk digerakkan dengan melibatkan seramai 4,500 pekerja pembersihan sepanjang tempoh perayaan berlangsung.
Selain itu, SWM Environment turut menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula di setiap premis kediaman memandangkan orang ramai akan melakukan kerja-kerja mengemas rumah yang dijangka meningkat sepanjang musim perayaan ini. Setiap premis perlu menempatkan sisa tersebut di tepi tong sampah beroda atau di rumah sampah berpusat mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Bagi memastikan kelancaran operasi ini, orang ramai juga dinasihatkan supaya melupuskan sisa-sisa bunga api dengan baik untuk mengelakkan kecederaan kepada pekerja serta menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama dengan tidak meletakkan kenderaan yang boleh menghalang perkhidmatan operasi sepanjang tempoh berkenaan.
#JohorSafeZone
#HariRayaAidilfitri
#SWMEnvironment
#KitarSemula
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


