USAHAWAN ASNAF DAN IKS JANA PENDAPATAN RAMADAN, SAMBUT SYAWAL LEBIH BERMAKNA

Program tajaan bazar Ramadan MAINJ bermula pada 2024 dengan peruntukan RM100,000 melibatkan 114 bazar dan diteruskan pada tahun berikutnya dengan peruntukan sama, melibatkan 142 bazar. | Foto FB Majlis Agama Islam Johor

#IskandarPuteri – Seramai 114 usahawan asnaf dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menjadi kumpulan yang bertuah apabila terpilih menjadi penerima manfaat daripada inisiatif tajaan Bazar Ramadan yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan peruntukan sebanyak RM94,390 bagi tahun ini.

 

Inisiatif tersebut yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan asnaf dan IKS untuk menjana pendapatan di sepanjang Ramadan kali ini, sekali gus dapat membantu mereka membuat persiapan menyambut Syawal dengan lebih bermakna.

 

Inisiatif ini akan membantu usahawan berkenaan dari segi pengurangkan kos operasi apabila MAINJ akan bertindak sebagai penanggung bayaran sewaan tapak bazar, sekali gus membolehkan mereka menggunakan wang sedia ada sebagai modal pusingan bagi pembelian bahan mentah dan persediaan awal perniagaan.

 

Program berkenaan yang menjadi sebahagian daripada pengisian Semarak Cinta Ramadan itu juga bertujuan untuk memperkasa usahawan dalam kalangan penerima Dana Niaga Usahawan MAINJ serta peniaga kecil tempatan agar terus berdaya saing dalam menjalankan aktiviti perniagaan di sepanjang bulan Ramadan ini.

 

Tajaan tersebut melibatkan hampir keseluruhan daerah di Negeri Johor kecuali Segamat dengan sebanyak 114 tapak bazar ditaja di 30 lokasi bazar Ramadan yang meliputi 109 tapak bazar Ramadan dan lima bazar raya yang telah ditaja oleh MAINJ.

 

Untuk rekod, program tajaan bazar Ramadan MAINJ mula dilaksanakan pada 2024 dengan peruntukan sebanyak RM100,000 melibatkan 114 bazar. Inisiatif ini kemudiannya diteruskan lagi pada tahun lalu dengan peruntukan sama sebanyak RM100,000, namun ia membabitkan jumlah bilangan bazar yang lebih banyak iaitu 142 bazar.

 

Usaha itu mencerminkan komitmen berterusan MAINJ dalam usaha memperkasa usahawan tempatan khususnya dalam kalangan asnaf dan usahawan kecil agar terus berdaya saing, menjana pendapatan sepanjang Ramadan serta berpeluang menyambut Syawal dengan lebih bermakna bersama keluarga masing-masing.

 

#JohorSafeZone
#BazarRamadanMAINJ
#SyawalBermakna
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor