BEKALAN AIR KE KAWASAN TERJEJAS DISALUR, TANGANI KESAN CUACA KERING

Kerajaan Johor mempergiat inisiatif bersepadu bagi menangani kesan cuaca kering berpanjangan terhadap paras sumber air mentah di beberapa kawasan utama. | Foto FB Onn Hafiz

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperkukuh tindakan melaksanakan pelbagai inisiatif bersepadu dalam usaha mengurangkan kesan cuaca kering berpanjangan yang menjejaskan kadar paras sumber air mentah di beberapa kawasan utama negeri ini.

 

Ia termasuk paras Sungai Benut yang kini berada pada tahap minimum, manakala Empangan Machap pula mencatatkan paras di bawah tahap operasi selamat menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus daripada kapasiti penuh.

 

Beberapa inisiatif utama juga telah digerakkan secara serentak iaitu pengukuhan operasi beberapa LRA, termasuk penyaluran tambahan sebanyak empat juta liter sehari (JLH) daripada LRA Yong Peng bagi membantu menstabilkan sistem bekalan air di kawasan terjejas.

 

Selain itu, pemasangan sistem ‘pontoon’ di Empangan Machap turut dilaksanakan bagi membolehkan tambahan sehingga 20 JLH disalurkan ke Sungai Benut bagi menyokong operasi LRA Simpang Renggam.

 

Operasi mobilisasi lori tangki air turut dipergiat melibatkan 28 lori tangki yang beroperasi di daerah Kluang dan Pontian, selain tambahan 14 lori tangki air dari luar Johor serta sumbangan 15 lori tangki tambahan daripada negeri-negeri lain khusus untuk kawasan Pontian dan Simpang Renggam.

 

Bagi memastikan akses air asas kepada komuniti terjejas terus terpelihara, sebanyak 41 tangki air statik telah ditempatkan di lokasi utama iaitu melibatkan sembilan lokasi di Kluang dan 32 lokasi di Pontian, selain inisiatif pengedaran bekalan air minuman.

 

Sementara itu, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan pada 11, 12 dan 15 Februari ini di kawasan Empangan Machap, Layang dan Ulu Sungai Sedili Kecil melibatkan kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

 

Kerajaan Negeri juga kekal komited untuk terus memantau situasi dan melaksanakan tindakan susulan bagi memastikan tiada rakyat Johor yang terputus daripada bantuan asas serta kelestarian sumber air di negeri ini.

 

#JohorSafeZone
#LRA
#Air
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor