KEPIMPINAN NEGERI JOHOR DIPERKASA DENGAN ILMU AI BERTARAF ANTARABANGSA

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri hadir mengikuti kursus eksekutif bertaraf antarabangsa di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, | Foto FB Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri Johor (JCS) terus diperkasa dengan latihan bertaraf global menerusi kursus eksekutif antarabangsa bertajuk ‘Leading the AI-Driven Organization’ di Massachusetts Institute of Technology (MIT) seiring dengan visi dan iltizam Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Kursus yang dianjurkan oleh Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT) dengan kerjasama MIT dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) itu dilaksanakan bagi melengkapkan barisan kepimpinan negeri dengan kefahaman menyeluruh berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta aplikasinya dalam pembuatan sesuatu dasar, pengurusan organisasi dan penyampaian perkhidmatan awam.
Pendedahan itu secara tidak langsung turut menyokong usaha penubuhan Majlis AI Johor sebagai platform strategik bagi menyelaras penggunaan teknologi AI dalam sektor pentadbiran, pendidikan dan pembangunan teknologi negeri secara beretika, mampan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Selain itu, kursus tersebut juga tertumpu kepada peranan pemimpin dalam membentuk organisasi yang bersedia menghadapi perubahan teknologi secara strategik, termasuk integrasi keupayaan manusia dan teknologi digital, penggunaan data serta aplikasi AI bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepat proses pembuatan keputusan.
Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh tadbir urus yang lebih cekap, telus dan mesra rakyat melalui pemerkasaan ilmu, penggunaan data serta penerapan teknologi digital dalam pentadbiran negeri.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri hadir mengikuti kursus eksekutif bertaraf antarabangsa di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Turut hadir ialah YBhg. Encik Fizwan Dato’ Haji Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai; YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing dan YBhg. Tuan Haji Ts. Mohd Johari Tarmidi, Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO).
Hadir sama ialah YBhg. Tuan Haji Ezahar Haji Abu Sairin, Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) serta YBhg. Tuan Haji Mohd Fahmi Salam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ).
#JohorSafeZone
#AgendaDigitalJohor
#AI
#JTDC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


