KLUANG BERPOTENSI JADI HAB PERTANIAN DAN AGROPEMPROSESAN MENERUSI JETP

YB Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, dalam Sesi Taklimat dan Penyelarasan Pembangunan Sektor Pertanian Daerah Kluang serta Inisiatif Menyokong JETP di Pejabat Pertanian Kawasan Simpang Renggam. | Foto FB Israk Abdullah
#Kluang – Daerah Kluang berpotensi kukuh untuk dijadikan sebagai hab pertanian dan agropemprosesan Negeri Johor menerusi pembangunan ekosistem agroindustri yang lebih moden, produktif serta berdaya saing selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
YB Tuan Haji Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, memberitahu perkara itu juga menjadi antara tumpuan utama yang dibincangkan menerusi Sesi Taklimat dan Penyelarasan Pembangunan Sektor Pertanian Daerah Kluang serta Inisiatif Menyokong JETP yang berlangsung di Pejabat Pertanian Kawasan Simpang Renggam.
Sesi taklimat berkenaan turut membentangkan pelbagai agenda khusus berkaitan perkembangan, cabaran serta potensi sektor pertanian di daerah Kluang yang merangkumi sektor tanaman, penternakan, perikanan dan industri agropemprosesan.
Berdasarkan Laporan Banci Pertanian 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kluang telah berjaya mencatatkan nilai jualan pertanian tertinggi di Negeri Johor dengan nilai RM4.95 bilion, sekali gus mencerminkan potensi besar sektor agromakanan daerah berkenaan untuk terus dikembangkan pada masa akan datang.
Kekuatan sektor pertanian dan agropemprosesan Kluang turut terserlah menerusi kepelbagaian produk yang mempunyai jenama serta pasaran tersendiri, antaranya jagung manis Daily Fresh, sayur-sayuran Yong Kah, Pisang Cavendish Mr. Banana dan kerepek Wak Tunot.
Selain itu, Kluang juga mempunyai identiti tersendiri dalam industri kopi menerusi jenama seperti Kluang Rail Coffee yang bertapak sejak 1938, Kopi Kluang Cap Televisyen sejak 1966 serta My Liberica Coffee yang turut membawa identiti Kluang ke pasaran lebih luas.
Selari dengan JETP, pembangunan Kluang sebagai hab pertanian dan agropemprosesan ini jug akan memberi tumpuan kepada pengukuhan keseluruhan rantaian nilai, bukan sahaja dalam meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, malah memperluas aktiviti pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran produk bernilai tambah yang lebih tinggi.
Usaha berkenaan turut melibatkan penerapan teknologi dalam sektor pertanian melalui peluasan penggunaan seperti ‘smart farming’, teknologi pertanian (agritech), automasi dan mekanisasi bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta daya saing pengusaha.
Pada masa sama, sektor agropemprosesan akan terus diperkasa bagi memastikan hasil pertanian tidak hanya dipasarkan sebagai bahan mentah, sebaliknya dapat diolah kepada produk makanan dan minuman, hasil tanaman diproses, produk segar bersepadu serta pelbagai produk hiliran yang mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi.
Kerajaan Negeri Johor akan terus menyelaras kekuatan sedia ada bersama jabatan, agensi dan pemain industri bagi membangunkan Kluang sebagai ekosistem agroindustri moden yang merangkumi keseluruhan rantaian daripada proses pengeluaran di ladang, pemprosesan sehingga pemasaran ke pasaran lebih luas.
#Kluang
#PertanianJohor
#Agropemprosesan
#JETP
#EkonomiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


