FASA PERALIHAN MONSUN BERMULA 9 OKTOBER INI

Kenyataan media Jabatan Meteorologi Malaysia.
#JohorBahru – Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 9 Oktober ini dan ia akan berterusan sehingga penghujung Oktober, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan medianya memberitahu, perubahan corak tiupan angin sepanjang tempoh berkenaan berpotensi menggalakkan pembentukan awan ribut petir apabila tiupan angin menjadi lebih lemah, selain ia juga datang dari pelbagai arah.
Keadaan tersebut lazimnya boleh menyebabkan kejadian hujan lebat, kilat dan angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada sebelah petang hingga awal malam.
Kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia serta barat Sabah dan Sarawak antara kawasan yang berpotensi mengalami kejadian cuaca berkenaan sepanjang fasa peralihan monsun ini berlangsung.
Fenomena berkenaan juga boleh meningkatkan risiko kejadian seperti banjir kilat, kepala air dan pokok tumbang, selain kerosakan terhadap struktur yang tidak kukuh.
METMalaysia turut memaklumkan apabila berakhirnya Monsun Barat Daya, kesan jerebu rentas sempadan dari negara jiran dijangka akan beransur-ansur berkurangan susulan perubahan arah pergerakan angin.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang perubahan keadaan cuaca serta mengikuti ramalan dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan METMalaysia menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline METMalaysia di talian 1-300-22-1638 bagi mendapatkan maklumat dan pertanyaan lanjut.
#FasaPeralihanMonsun
#METMalaysia
#CuacaJohor
#WaspadaCuaca
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


