SISTEM JELA JADI ‘GAME-CHANGER’ TRANSFORMASI PENDIDIKAN SRBJ

Sekolah Rintis Bangsa Johor menjadi ‘game changer’ dalam transformasi pendidikan negeri melalui pelaksanaan sistem Johor English Language Academy (JELA). | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor mengambilkan langkah proaktif dengan melaksanakan sistem Johor English Language Academy (JELA) di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), sekali gus menjadikannya sebagai ‘game-changer’ dalam usaha memperkukuh transformasi pendidikan di negeri ini.

 

Inisiatif penubuhan SRBJ yang diilhamkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasa sistem pendidikan Johor secara menyeluruh, terangkum dan progresif.

 

Dilaksanakan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), sistem JELA ini diperkenalkan sebagai platform pembelajaran interaktif yang memberi fokus kepada penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid, selaras dengan piawaian antarabangsa ‘Common European Framework of Reference’ (CEFR).

 

Pelaksanaannya bukan sahaja melibatkan penilaian awal (placement test), malah turut merangkumi penyediaan bahan pembelajaran yang tersusun serta latihan intensif kepada guru bagi memastikan kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang bukan sahaja lebih efektif, tetapi juga menepati standard global.

 

Sistem JELA juga akan turut menyokong Teras 1 SRBJ yang menekankan pengukuhan bahasa Inggeris tanpa mengetepikan kedudukan asal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus memastikan keseimbangan dalam pembinaan identiti dan jati diri murid.

 

Usaha berterusan ini diyakini mampu meningkatkan pencapaian bahasa Inggeris dalam kalangan murid SRBJ, seterusnya melahirkan generasi Bangsa Johor yang kompeten, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran di peringkat global.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir membuat tinjauan pelaksanaan sistem JELA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#SRBJ
#JELA
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor