PERUNTUKAN HAMPIR RM20 JUTA PERKASA MUALAF JOHOR

Kerajaan Johor komited memperkasa golongan mualaf dengan peruntukan RM19.836 juta, dengan RM7.04 juta telah dibelanjakan setakat April bagi kebajikan, pendidikan dan pembangunan mereka. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus komited memperkasa golongan mualaf menerusi pelbagai bentuk bantuan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial dengan jumlah peruntukan sebanyak RM19.836 juta menerusi Akaun Amanah Mualaf.
Sehingga April ini, sebanyak RM7.04 juta telah dibelanjakan bagi tujuan itu yang merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, bimbingan agama serta keperluan asas bagi memastikan kesejahteraan hidup dan penghayatan ajaran agama Islam dalam kalangan mualaf terus diperkukuh.
Antara inisiatif telah dilaksanakan termasuk bantuan pendidikan anak mualaf yang meliputi peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi menerusi sokongan kewangan sehingga RM1,800 setahun bagi sekolah rendah, RM3,600 setahun bagi sekolah menengah, manakala bagi bantuan peringkat diploma dan ijazah pula, masing-masing mencecah sehingga RM18,000 dan RM28,000 yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.
Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan perkahwinan secara ‘one-off’ sebanyak RM1,500 kepada mualaf yang layak, di samping bantuan deposit dan sewaan rumah bagi meringankan beban kos sara hidup dengan kadar deposit sehingga RM1,400 serta bantuan sewaan bulanan sehingga RM700.
Dalam aspek perlindungan hak, bantuan guaman turut disediakan melibatkan kes penjagaan anak, pembubaran perkahwinan dan tuntutan jenazah dengan kadar sehingga RM3,000. Selain itu, bantuan khas turut disalurkan kepada mualaf yang menjaga ibu bapa bukan Islam dengan kadar antara RM300 hingga RM500 sebulan.
Selain itu, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut merangka pelbagai program pembangunan termasuk latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan melalui kerjasama strategik bersama pelbagai institusi pendidikan termasuk Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ).
Usaha ini memperkukuh penghayatan Islam yang dilaksanakan melalui kelas pengajian di seluruh negeri ini termasuk Darul Ukhuwah dan surau komuniti, selain saguhati pengislaman RM500 serta elaun bulanan RM200 selama 24 bulan sebagai sokongan bagi memastikan golongan mualaf tidak kembali ke agama asal.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menjawab soalan YB Datuk Haji Ramlee Bohani, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kempas mengenai usaha memperkasa golongan mualaf pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#MualafJohor
#JAINJ
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



