JDT KEKAL MENDOMINASI, TERUS CIPTA LEGASI

Skuad Harimau Selatan juga melakar rekod baharu bagi jumlah gol paling tertinggi semusim untuk Liga Super, dengan 117 gol diledak dari 26 pemain yang tersenarai sebagai penjaring. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Slogan ‘Elevate The Game’ yang kerap dilaungkan kini menjadi kenyataan, malah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah membuktikan lebih daripada itu.
JDT menamatkan saingan Liga Super Malaysia 2025-2026 dengan penuh gaya selepas menang besar 1-14 ke atas Kelantan The Real Warriors di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus mencatat rekod baharu kemenangan terbesar dalam sejarah sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004.
Kemenangan besar tersebut menjadikan rekod tanpa kalah Harimau Selatan bertambah kepada 108 perlawanan liga sejak April 2021. Angka ini menyamai rekod dunia yang dipegang oleh ASEC Mimosa, kelab dari Ivory Coast sejak lebih tiga dekad lalu.
JDT telah menamatkan liga tanpa kalah untuk musim keempat berturut-turut sejak 2022 dan juga melakukannya buat kali keenam termasuk musim 2016 dan 2020, pencapaian yang hampir mustahil untuk dibuat oleh pesaing lain.
Mungkin ramai yang tidak sedar, skuad Harimau Selatan juga melakar rekod baharu bagi jumlah gol paling tertinggi semusim untuk Liga Super, dengan 117 gol diledak dari 26 pemain yang tersenarai sebagai penjaring.
Bergson Da Silva, penyerang kegemaran ramai membuktikan dia masih berbisa apabila berjaya meledak ‘double hat trick’ pada perlawanan terakhir liga, sekali gus mengumpul 27 gol dalam liga super dan 41 gol secara keseluruhan untuk JDT bagi musim ini.
Bakal menerima anugerah kasut emas buat kali ketiga, Bergson juga mencipta sejarah sebagai pemain pertama Harimau Selatan yang menjaringkan enam gol dalam satu perlawanan Liga Super Malaysia.
Jarak 20 mata di hadapan pencabar terdekat menyaksikan JDT mengekalkan kejuaraan liga buat kali ke-12 berturut-turut, memberi signal jelas bahawa kelab gergasi selatan tanah air ini telah menunjukkan tahap konsisten yang sukar ditandingi.
Usah berharap dominasi ini akan berakhir dengan sendiri, kerana Harimau Selatan akan terus mengukuhkan legasi sebagai kuasa mutlak dalam bola sepak tanah air.
#JohorSafeZone
#JDT
#ElevateTheGame
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


