MAINJ PERKUKUH KEBAJIKAN WARGA EMAS DI MUAR

YBrs. Tuan Haji Azlan Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitumal dan Wakaf MAINJ pada Program Ziarah Kasih MAINJ 1447H dan Majlis Penyampaian Bakul Makanan MAINJ 1447H. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Muar – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terus memperkukuh agenda kebajikan masyarakat menerusi Program Ziarah Kasih MAINJ 1447H di daerah Muar bagi menyantuni golongan memerlukan khususnya membabitkan warga emas di daerah berkenaan.
Bagi tujuan itu, MAINJ telah menyalurkan bantuan dana Baitulmal dengan peruntukan sebanyak RM1.1 juta sebulan yang disumbangkan kepada pusat-pusat jagaan di seluruh Negeri Johor, termasuk Pusat Jagaan Sinar Kasih yang menerima dana sebanyak RM129,800 setahun bagi tahun 2025 serta sumbangan peralatan dan keperluan asas bernilai RM7,500.
Selain itu, MAINJ turut memperuntukkan Wang Amanah Fidyah berjumlah RM1.8 juta untuk diagihkan kepada 50 orang penerima di setiap daerah yang merangkumi penyerahan bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan beberapa produk harian lain.
Inisiatif ini jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam usaha membantu golongan asnaf melalui dana Baitulmal dan Wang Amanah Fidyah membabitkan beberapa program seperti Program Bakul Makanan, Belanja Dapur Asnaf serta Gerobok Rezeki yang dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup terutama ketika berdepan cabaran akibat ketidaktentuan ekonomi pada masa kini.
Terdahulu, YBrs. Tuan Haji Azlan Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitumal dan Wakaf MAINJ hadir ke Program Ziarah Kasih MAINJ 1447H dan Majlis Penyampaian Bakul Makanan MAINJ 1447H yang diadakan di Masjid Al-Halim, Kampung Seri Menanti dan Pusat Jagaan Sinar Kasih, Muar.
Turut hadir ialah YBrs. Encik Mohd Mackeen Mohd Shafiee, Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ; YBrs. Ustaz SH Haffie Awab, Penolong Pengarah Baitulmal MAINJ serta YBrs. Ustaz Muhammed Adzrul Taib, Amin Baitulmal Daerah Muar.
#JohorSafeZone
#MAINJ
#AsnafJohor
#WargaEmas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



