LIGA M BOSAN’ ATAU MEREKA GAGAL KEJAR STANDARD JDT?

Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim sekali lagi mencipta sejarah apabila menewaskan Kuching City F.C. dalam final Piala Malaysia sekali gus meraih empat kejuaraan berturut-turut dan melengkapkan ‘quadruple’ tanpa kalah selama empat musim berturut-turut, yang disifatkan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebagai aksi final berkualiti dan terbaik. | Foto HRH Crown Prince of Johor

 

 

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

1. Empat Piala Malaysia berturut-turut. ‘Quadruple’ tanpa kalah dalam empat musim berturut-turut.

 

2. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencipta sejarah selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final Piala Malaysia yang dianggap DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemilik JDT sebagai berkualiti dan terbaik.

 

3. Namun, ketika JDT terus melakar sejarah dan mengukuhkan dominasi sebagai kuasa terbesar bola sepak negara, masih ada yang melabel Liga Malaysia sebagai ‘bosan’ hanya kerana satu pasukan terlalu dominan.

 

4. Malah, untuk menjadikan isu penjualan tiket final sebagai bukti liga tempatan semakin hilang daya tarikan juga sememangnya agak kurang tepat kerana perlu mengambil kira faktor kos perjalanan dan logistik yang sedikit sebanyak turut mempengaruhi kehadiran penyokong ke stadium, lebih-lebih lagi peminat Borneo khususnya dari Sarawak ke Semenanjung.

 

5. Dalam konteks lebih besar, dominasi JDT hari ini sebenarnya bukan ‘membunuh’ liga sebagaimana omongan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak, tetapi ia memperlihatkan standard profesional baharu yang perlu dikejar oleh pasukan lain jika mahu terus bersaing di pentas tertinggi bola sepak negara.

 

6. Dalam bola sepak moden, dominasi tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada visi, disiplin, pelaburan, pengurusan dan pembangunan dalam tempoh jangka masa panjang serta ia juga perlu dilakukan secara konsisten.

 

7. Jika dahulu bola sepak tempatan sering dikaitkan dengan isu tunggakan gaji, fasiliti daif dan pengurusan tidak stabil, hari ini JDT membuktikan kelab Malaysia juga mampu bergerak dengan standard yang jauh lebih tinggi daripada dahulu.

 

8. Secara tidak langsung, JDT turut mengubah ekspektasi rakyat terhadap suasana atmosfera bola sepak tempatan apabila penyokong hari ini mula menuntut fasiliti lebih baik, pengurusan lebih profesional dan standard pertandingan yang lebih berkualiti.

 

9. Kehadiran JDT juga secara tidak langsung ‘melondehkan’ pelbagai kelemahan lama dalam bola sepak tempatan, memaksa badan induk dan lebih banyak kelab memperbaiki aspek pengurusan, pemasaran, fasiliti serta pembangunan akar umbi untuk terus kekal relevan dalam era bola sepak moden.

 

10. Lihat sahaja bagaimana Kuching City FC berjaya melakar sejarah mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama musim ini. Kejayaan pasukan dari Sarawak itu membuktikan ruang untuk mencabar sebenarnya masih terbuka luas sekiranya sesebuah kelab mempunyai perancangan dan hala tuju yang jelas.

 

11. Kuching City bukanlah pasukan tradisi besar bola sepak Malaysia. Namun, kerja keras berjaya membawa mereka sehingga ke pentas final menentang salah satu kelab terbaik di rantau Asia.

 

12. Ini sekali gus menepis naratif kononnya Liga Malaysia sudah ‘mati’ atau tiada lagi persaingan hanya kerana wujudnya dominasi JDT.

 

13. Dalam mana-mana liga besar dunia, era dominasi bukan perkara asing. Manchester United pernah mendominasi Liga Perdana Inggeris, Bayern Munich menguasai Bundesliga Jerman manakala Real Madrid dan Barcelona silih berganti membentuk era kegemilangan di La Liga Sepanyol kerana standard tinggi sentiasa akan mewujudkan jurang terhadap pencabar lain.

 

14. Namun, apa yang membezakan kelab-kelab besar ini bukan sahaja jumlah trofi, tetapi bagaimana mereka berjaya mengangkat standard liga dan memaksa pencabar lain keluar daripada zon selesa.

 

15. Jika dominasi itu mudah, sudah tentu ramai mampu melakukannya. Namun realitinya, mengekalkan standard kemenangan selama lebih sedekad memerlukan komitmen dan pengorbanan luar biasa.

 

16. Ketika bola sepak tempatan suatu ketika dahulu berada di ‘zaman gelapnya’, ramai yang bersuara mahukan perubahan dan standard lebih tinggi. Namun apabila ada pasukan dari ‘liga tempatan’ yang berjaya mencapai tahap tersebut secara konsisten, dominasi itu pula mula dianggap sebagai satu masalah.

 

17. Hakikatnya, apa yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘bosan’ hari ini berlaku kerana kita terlalu lama terbiasa dengan standard yang ‘biasa-biasa’, sehingga apabila JDT bergerak secara lebih profesional dan konsisten, ia mula dianggap langkah membunuh bola sepak tempatan.

 

18. Mungkin persoalan paling besar hari ini bukan lagi berapa lama JDT mampu terus mendominasi, tetapi siapakah yang benar-benar bersedia bekerja keras untuk mencabar dominasi tersebut secara profesional dan konsisten.

 

19. Pengalaman besar JDT di pentas Asia turut dikongsikan di liga tempatan. Bermain menentang skuad Harimau Selatan seolah-olah memberi imaginasi kepada pasukan lain bahawa mereka melawan sebuah pasukan yang pernah mengalahkan nama-nama besar seperti Ulsan HD FC (Korea Selatan), Shanghai Shenhua (China) dan Vissel Kobe dari Jepun.

 

20. Jika tiada perasaan ‘iri hati’ yang berlebihan, mereka sebenarnya boleh mengutip pengalaman yang ada pada JDT untuk memperkasakan kelab masing-masing.

 

21. Jika beberapa kelab ternama seperti Borussia Dortmund dari Jerman dan, akan datang, Chelsea dari England memilih mengadakan perlawanan persahabatan dengan JDT, itu sangat luar biasa. Itu tanda pengiktirafan terhadap apa yang telah digapai oleh JDT selama ini.

 

22. Malah, kehadiran figura bola sepak dunia seperti Gerard Pique, Jurgen Klinsmann, Tim Cahill dan Juanfran ke JDT sebelum ini juga menjadi ‘cop mohor’ bahawa JDT kini sudah semakin dikenali di seantero dunia.

 

23. Jika kelab besar dan figura ini sanggup turun ke JDT untuk berkongsi kepakaran, pengalaman, melihat visi, misi, rundingan kerjasama dan sebagainya, tetapi kenapa kelab lain di negara yang sama, makan nasi dari beras yang sama, tidur berlangitkan bintang yang sama tetapi tidak boleh ‘bersama-sama’ JDT untuk memajukan bola sepak tanah air?

 

24. Sikap ‘mazmumah’ seperti ini perlu dibuang jauh-jauh. Kejayaan JDT hari ini turut menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara, menyumbang mata ranking negara dan juga membuka jalan kepada kelab lain untuk merasai bahang pentas bola sepak yang lebih tinggi di Asia.

 

25. Jadi sekarang terpulang kepada kelab lain sama ada mahu terus memberi alasan atau benar-benar bangkit mencabar kerana ‘dayung sebenarnya sudah di tangan, perahu juga sudah di air’.

 

26. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang membawa Bangsa Johor menikmati kejayaan demi kejayaan sehingga mampu berdiri megah sebagai antara kuasa bola sepak paling disegani di Malaysia dan Asia hari ini. Luaskan Kuasamu Johor.

 

#JohorSafeZone
#TheTMJEffect
#WhatCanYouDo
#TheGameIsRigged
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor