MB JOHOR SERU UMAT ISLAM BERSATU HATI SEMPENA MAAL HIJRAH

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1448H/2026M di Dewan Utama, Bangunan Temenggong Ibrahim Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Umat Islam di Johor diseru untuk terus bersatu hati, memperkukuh hubungan sesama masyarakat serta menjadikan nilai agama sebagai tunjang dalam usaha membangunkan negeri dan bangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M.
Kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya ia juga perlu berpaksikan nilai agama serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Selain itu, sejarah peradaban Islam membuktikan kejayaan sesuatu tamadun lahir apabila pembangunan ilmu, kepimpinan dan kemajuan bergerak seiring dengan pegangan agama yang kukuh.
Dalam konteks Johor, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan pembangunan yang dilaksanakan mempunyai keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pengukuhan nilai kerohanian masyarakat.
Usaha itu dapat dilihat menerusi peningkatan pelaburan, hasil negeri, kutipan zakat dan pelbagai sumber pendapatan lain yang merupakan amanah untuk dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan serta manfaat lain.
Pada masa sama, inisiatif seperti Program Infak Jumaat yang dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh Johor menjadi antara usaha memperkukuh budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat, selain mengimarahkan rumah ibadah melalui pelaksanaan program keagamaan seperti Semarak Subuh.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Temenggong Ibrahim Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.
Turut hadir, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor serta YB Dato’ Mohammed Ridha Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor.
#JohorSafeZone
#1Muharam
#MaalHijrah1448H
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


