PROF DATO’ DR. KASSIM THUKIMAN DINOBAT TOKOH MAAL HIJRAH JOHOR 1448H/2026M

YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor bersama keluarga pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1448H/2026M. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor Tahun 1448H/2026M.
Pengiktirafan tersebut diberikan atas sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pemeliharaan sejarah Johor yang telah membantu memperkukuh pemikiran masyarakat dan jati diri Bangsa Johor.
Dilahirkan dalam keluarga peneroka di Felda Cahaya Baru, Masai, beliau menjadikan ilmu sebagai asas perjuangan hidup sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Pengurusan) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sepanjang sejarah kerjayanya, beliau dikenali sebagai antara sejarahwan terkemuka negara yang banyak menyumbang kepada usaha mendokumentasikan sejarah Johor menerusi penulisan ilmiah, penerbitan buku serta penyelidikan yang menjadi rujukan pelbagai pihak termasuk media, institusi pendidikan dan generasi muda.
Selepas menamatkan perkhidmatan sebagai pensyarah dan profesor di UTM pada tahun 2021, beliau terus diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ) serta Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia.
Sebagai tokoh akademik yang disegani, beliau turut aktif membimbing penyelidikan, menghasilkan manuskrip sejarah dan berkongsi ilmu berkaitan warisan serta ketamadunan Johor kepada masyarakat.
Beliau juga berpandangan bahawa generasi muda perlu terus mendalami sejarah agar tidak terputus daripada akar warisan yang membentuk identiti masyarakat, terutama ketika dunia berdepan perkembangan pesat teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Anugerah berkenaan disampaikan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Dewan Utama Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.
#JohorSafeZone
#MaalHijrah1448H
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



