100 PELAJAR SRBJ BAKAL TERIMA MANFAAT PROGRAM HARVARD

100 pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bakal menerima manfaat menerusi cadangan Program Kepimpinan Berinspirasikan Sains (PSIL) hasil kerjasama pendidikan yang sedang diteroka antara Johor dan Universiti Harvard. | Foto HRH Crown Prince of Johor

 

#IskandarPuteri – Seramai 100 pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bakal menerima manfaat daripada cadangan pelaksanaan Program Kepimpinan Berinspirasikan Sains (Program for Scientifically-Inspired Leadership, PSIL) hasil penerokaan kerjasama pendidikan antara Johor dan Universiti Harvard.

 

Cadangan awal pelaksanaan program berkenaan dijadual bermula pada Januari tahun 2027 melibatkan pelajar terpilih daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara dan SMK Seri Kota Puteri 2.

 

PSIL yang ditubuhkan pada tahun 2019 memberi penekanan kepada pembelajaran aktif, pemikiran kritis, komunikasi berkesan serta pembangunan kepimpinan bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

 

Selain pelajar, manfaat program tersebut turut diperluaskan kepada 40 guru SRBJ menerusi bengkel pedagogi pembelajaran aktif bagi memperkukuhkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih interaktif, kreatif serta berkesan.

 

Pelaksanaan program itu dijangka memberi pendedahan kepada pelajar dan guru terhadap pendekatan pembelajaran bertaraf antarabangsa, selain ia juga akan membantu memperkasa budaya pembelajaran yang lebih dinamik di sekolah.

 

Penerokaan kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan negeri menerusi jaringan bersama institusi pendidikan bertaraf dunia serta memperluaskan pendedahan anak-anak Johor kepada budaya pembelajaran global.

 

Inisiatif tersebut selari dengan usaha berterusan untuk melahirkan generasi Bangsa Johor yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan daya saing di peringkat antarabangsa.

 

Terdahulu, perkara itu dibincangkan ketika DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menerima menghadap delegasi Universiti Harvard yang diketuai oleh Dr. Dominic Mao, Penolong Pengarah Pengajian Prasiswazah dan Pensyarah Biologi Molekul dan Sel serta Dr. Andrea Wright, Penolong Dekan Kolej Harvard dan Pensyarah Antropologi.

 

#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#SekolahRintisBangsaJohor
#HarvardUniversity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor