5,000 BANGSA JOHOR TERIMA MANFAAT INISIATIF PERUMAHAN KASIH JOHOR FASA 4

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Perasmian Penyerahan Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 4 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Senyuman tanda kesyukuran dan kegembiraan jelas terpancar pada riak wajah 5,000 Bangsa Johor apabila masing-masing menerima manfaat menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor yang kini telah memasuki Fasa 4 pelaksanaannya.

 

Inisiatif berterusan yang dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM20.75 juta bagi fasa 4 ini melibatkan tiga kategori bantuan utama iaitu Bantuan Beli Rumah Pertama (RM5,000); Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) dan Bantuan Sewa Rumah (RM2,500).

 

Penerima inisiatif berkenaan, Nur Firzana Basar, 30, memberitahu beliau menzahirkan rasa syukur selepas menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM7,000 melibatkan Bantuan Beli Rumah Pertama dan Bantuan Masuk Rumah Pertama, sekali gus membantu beliau dan suaminya melakukan penambahbaikan rumah selain dapat mengurangkan beban kewangan keluarga.

 

Sementara itu, Tinesh Kumar, 32, pula menyifatkan Bantuan Beli Rumah Pertama (RM5,000) yang diterimanya sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Johor terhadap rakyat terutama dalam sektor perumahan apabila menerima manfaat secara langsung dalam membantu perbelanjaan harian keluarganya.

 

Rasa syukur dan gembira turut dirasai Mohammad Raihan Shahrolnizam, 30, yang menerima Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) yang melihat inisiatif tersebut sebagai usaha Kerajaan Johor dalam mengangkat agenda perumahan untuk rakyat, selain bantuan itu juga diperluaskan kepada pelbagai kategori perumahan bagi meringankan beban pembeli seperti dirinya yang turut berdepan kenaikan kos sara hidup masa kini.

 

Menerusi pelaksanaan fasa ini, Bantuan Beli Rumah menerima peruntukan terbesar sebanyak RM17.5 juta yang disalurkan kepada 3,500 penerima, manakala seramai 1,000 penerima pula menerima Bantuan Masuk Rumah Pertama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 juta.

 

Selain itu, seramai 500 penerima pula menerima Bantuan Sewa Rumah melibatkan peruntukan sebanyak RM1.25 juta, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Johor dalam memperkukuh agenda perumahan negeri serta membantu rakyat mengurangkan beban kewangan berkaitan pemilikan dan penyewaan kediaman.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir ke Majlis Perasmian Penyerahan Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 4 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), hari ini.

 

Turut hadir ialah YB Dato’ Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor dan YB. Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

#JohorSafeZone
#PKPJ
#InisiatifPerumahanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas