PENGHARGAAN KEPADA BARISAN HADAPAN PERKUKUH SEMANGAT BERKHIDMAT

Kerajaan Johor memperuntukkan sejumlah RM70.1 juta bagi pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada 140,185 penjawat awam Persekutuan menerusi Belanjawan Johor 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan Negeri Johor. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Pelbagai inisiatif serta penghargaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor kepada pasukan barisan hadapan, khususnya anggota tentera, polis dan petugas kesihatan, bukan sahaja membela aspek kebajikan, malah menyuntik semangat mereka untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Bagi Mohd Fareez Zaharudin, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Kem Segamat, pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam Persekutuan di Johor mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan mereka yang sentiasa memikul amanah serta tanggungjawab demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Beliau menyifatkan penghargaan itu sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap pengorbanan anggota keselamatan di perbatasan, sekali gus meningkatkan motivasi pasukan keselamatan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Sementara itu, Inspektor Azlan Ab. Rahman, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), berpandangan inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup, malah menjadi suntikan semangat kepada warga pasukan keselamatan untuk terus komited menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
Beliau turut melihat penghargaan yang diberikan mencerminkan nilai kebersamaan Kerajaan Johor dalam menghargai sumbangan penjawat awam Persekutuan di pelbagai peringkat dan jabatan yang berkhidmat di negeri ini.
Bagi Mohamad Ammar Zainuddin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, pemberian Bantuan Khas Kewangan oleh Kerajaan Johor merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan petugas kesihatan yang sentiasa komited memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat berjalan lancar.
Menurutnya, penghargaan tersebut turut meningkatkan motivasi warga kesihatan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Bangsa Johor selaras dengan amanah yang dipikul dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.
Untuk rekod, Kerajaan Johor memperuntukkan sejumlah RM70.1 juta bagi pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada 140,185 penjawat awam Persekutuan menerusi Belanjawan Johor 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#BantuanKhasKewangan
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


