KEBERKESANAN DASAR TENTUKAN KEYAKINAN PENGUNDI

Perubahan landskap politik kali ini turut menyaksikan majoriti rakyat semakin cenderung menilai prestasi pentadbiran berdasarkan pencapaian yang dapat dirasai secara langsung seperti pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan, kemudahan awam serta kesejahteraan hidup. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Keupayaan sesebuah kerajaan melaksanakan dasar yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dilihat semakin menjadi ukuran utama dalam pertimbangan pengundi untuk membuat pemilihan calon atau parti, mengatasi retorik dan polemik politik yang sering menghiasi landskap demokrasi masa kini.
Bagi Ku Hasnan Ku Halim, Penganalisis Politik dan Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), perubahan landskap politik kali ini turut menyaksikan majoriti rakyat semakin cenderung menilai prestasi pentadbiran berdasarkan pencapaian yang dapat dirasai secara langsung seperti pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan, kemudahan awam serta kesejahteraan hidup.
Beliau berkata, pendekatan yang dikenali sebagai politik pembangunan memberi penekanan kepada keupayaan kerajaan dalam menghasilkan dasar dan menyampaikan perkhidmatan yang berkesan, berbanding politik simbolik yang lebih tertumpu kepada pembentukan persepsi, konflik naratif dan sentimen politik.
Dalam konteks semasa, beliau turut berpandangan rakyat kini tidak lagi sekadar menilai janji atau manifesto yang ditawarkan, sebaliknya lebih memberi perhatian kepada keberkesanan dasar serta hasil yang mampu diterjemahkan dalam kehidupan seharian mereka.
Bagi Johor, beliau berpandangan negeri ini sejak sekian lama dikenali sebagai antara negeri yang mengangkat politik pembangunan sebagai asas pentadbiran dengan naratif pembangunan yang bukan sahaja diterjemahkan melalui projek fizikal, malah merangkumi usaha memperkukuh ekosistem pelaburan,
pembangunan modal insan, jaringan logistik serta penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Jelasnya, perkembangan media sosial turut mengubah landskap politik mutakhir ini apabila kandungan yang bersifat kontroversi lebih mudah mendapat perhatian berbanding perbincangan mengenai dasar, sekali gus mewujudkan suasana politik yang lebih bising walaupun ia tidak semestinya mampu menghasilkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat.
Pada masa sama, beliau menjelaskan pengundi kini semakin rasional dalam membuat pertimbangan dengan menilai aspek seperti kestabilan kerajaan, peluang pekerjaan, kos sara hidup, kemudahan awam, kecekapan pentadbiran serta prospek ekonomi masa hadapan sebelum membuat keputusan politik.
Selain itu, kepimpinan yang berkesan bukan lagi diukur berdasarkan kemampuan berpidato atau mendominasi ruang media sosial, sebaliknya melalui keupayaan menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat, menyediakan peluang pekerjaan, memperkukuh infrastruktur serta menjamin kestabilan sosial.
Justeru, beliau berpendapat persaingan politik pada masa kini semakin beralih kepada politik prestasi apabila rakyat menilai hasil yang mampu disampaikan oleh sesebuah pentadbiran, sekali gus menjadikan pembangunan, keberkesanan dasar dan penyampaian perkhidmatan sebagai antara faktor utama dalam membentuk keyakinan pengundi.
#JohorSafeZone
#PRUDNJohorKe16
#MehNgundi
#JohorMemilih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


