27 LOKASI JALAN DI MERSING SIAP BAIK PULIH


Menteri Besar Johor singgah di Jalan Kota Tinggi-Mersing, berdekatan kawasan Panti untuk melihat kerja pembaikan dan penurapan jalan yang sedang dijalankan ketika dalam perjalanan ke daerah Mersing.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 27 lokasi jalan raya meliputi jarak 11.6 kilometer di daerah Mersing, telah siap dibaik pulih.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagaimanapun, kerja menaik taraf bagi empat lagi lokasi tambahan dengan jarak 2.8 kilometer akan bermula pada bulan ini.

Empat lokasi tersebut adalah Kampung Wak Salam (Seksyen 121.9); Jambatan Mersing (Seksyen 133.0-117.4); Institusi Latihan Perindustrian (Seksyen 118.4-117.4) serta kawasan selekoh kemalangan (Seksyen 107,6-107.4).

“Insha Allah, kerajaan negeri akan sentiasa memantau keadaan infrastruktur asas jalan raya dalam negeri bagi memastikan kemudahan, keselesaan serta keselamatan pengguna di seluruh Johor,” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, beliau berkesempatan singgah di Jalan Kota Tinggi-Mersing, berdekatan kawasan Panti untuk melihat kerja pembaikan dan penurapan jalan yang sedang dijalankan ketika dalam perjalanan ke daerah Mersing.

“Kerja naik taraf sepanjang 38.8 kilometer di sini dijangka siap pada hujung tahun 2022 dan pada kini, kerja masih berbaki 22.5 kilometer untuk dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Penyelenggaraan dan menaiktaraf jalan di negeri ini, merupakan antara lima komponen utama dalam Teras Kemudahan dan Keperluan Asas di bawah agenda Maju Johor.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor