JOHOR LAKSANA PELBAGAI IKHTIAR BANTU KUKUHKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN

Pasukan SV kini telah ditempatkan di HSA dan Hospital Pasir Gudang (HPG) dengan elaun harian yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, manakala penempatan doktor locum pula bertujuan untuk mempercepatkan rawatan di Jabatan Kecemasan serta mengurangkan kesesakan pesakit. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor telah melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi membantu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat walaupun pengurusan sumber manusia sektor berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk memperuntukkan sejumlah RM4.636 juta bagi membiayai penempatan doktor locum di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai, selain menggerakkan seramai 100 sukarelawan Southern Volunteers (SV) bagi membantu operasi hospital.
Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, pasukan SV kini telah ditempatkan di HSA dan Hospital Pasir Gudang (HPG) dengan elaun harian yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, manakala penempatan doktor locum pula bertujuan untuk mempercepatkan rawatan di Jabatan Kecemasan serta mengurangkan kesesakan pesakit.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, Kerajaan Johor turut menyalurkan bantuan pendidikan kepada keluarga asnaf dan golongan B40 menerusi dermasiswa, bantuan pendaftaran institusi pengajian tinggi (IPT), komputer riba serta pelbagai bentuk insentif lain.
Kerajaan Johor juga turut menaja anak-anak daripada keluarga asnaf untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan sebagai usaha bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja kesihatan tempatan bagi memenuhi keperluan negeri pada masa hadapan.
Pada masa sama, Kerajaan Johor turut berpandangan pengisian jawatan petugas kesihatan perlu disegerakan oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa supaya isu kekurangan tenaga kerja sektor ini dapat ditangani secara menyeluruh, sekali gus memastikan rakyat menerima akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti.
Pelbagai ikhtiar yang dilaksanakan ini membuktikan komitmen Kerajaan Johor dalam membantu memperkukuh sistem kesihatan negeri melalui pendekatan menyeluruh yang melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan demi memastikan Bangsa Johor terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
#JohorSafeZone
#AgendaKesihatan
#JohorSihat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


