JOHOR PERCEPAT PROJEK BEKALAN AIR, JAMIN KEPERLUAN RAKYAT DAN INDUSTRI
Oleh: Mohamad Nur Ariff Nasseem Mohd Murad

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 1 dan YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus memberi perhatian kepada usaha memperkukuh infrastruktur asas di negeri ini, khususnya berkaitan soal jaminan bekalan air jangka panjang bagi memenuhi keperluan rakyat, industri dan pembangunan negeri.
Seiring dengan pertumbuhan pesat Johor, pelaksanaan beberapa projek berkaitan sumber dan bekalan air utama perlu terus dipercepatkan bagi memastikan keperluan asas berkenaan dapat dipenuhi secara mampan.
Inisiatif berkenaan mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pemacu utama ekonomi Johor dalam menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta memperkasa perniagaan tempatan.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) supaya limpahan hasil pembangunan berkenaan akan dapat dirasai oleh Bangsa Johor, selaras dengan kepentingan dan masa depan negeri ini.
Kerajaan Johor juga akan terus memperkukuh penyelarasan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap projek serta inisiatif strategik yang dirancang akan dapat digerakkan dengan tersusun dan berkesan.
Usaha itu turut mendukung aspirasi untuk menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030, di samping memperkukuh asas pembangunan negeri, meningkatkan daya saing ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada Bangsa Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 1 dan YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Ekonomi.
#JohorSafeZone
#Infrastruktur
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



