JLM WILAYAH SELATAN TERIMA KUNJUNGAN HORMAT MASA


Pengarah Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah menerima kunjungan delegasi daripada Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) di Pejabat Laut Wilayah Selatan / Foto Ihsan Jabatan Laut Wilayah Selatan.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Laut Malaysia (JLM) menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) di Pejabat JLM Wilayah Selatan di sini, semalam.

Pengarah Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah, berkata kunjungan hormat itu dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan baik yang sudah terjalin dengan persatuan berkenaan.

“Selain itu, pada kunjungan kali ini, pihak JLM dan MASA turut bertukar fikiran berhubung perkembangan semasa industri maritim di Malaysia, khususnya di Johor.

“Pada pertemuan ini, kita juga turut menyentuh isu-isu berkaitan hal ehwal kebajikan pelaut terutama di kawasan wilayah selatan ini,” katanya dalam kenyataan di laman sosial JLM Wilayah Selatan.

Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Pengerusi MASA, Mohamed Safwan bin Othman dan Ketua Penolong Pengarah Kanan BPTBP Wilayah, Mohd Reduan Mohd Ali.

Dickson berkata, JLM dan MASA juga turut komited untuk menerokai pelbagai potensi besar industri maritim di negara ini khususnya di negeri Johor.

“Potensi besar ini boleh diterokai dalam menjana ekonomi negara yang memberi limpahan kesan rantaian ekonomi yang positif kepada semua pihak berkaitan.

“Kita berharap dengan kunjungan hormat ini juga akan merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara MASA dan JLM dalam menjadi pemangkin industri maritim negara pada masa akan datang,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor