49,280 PENGGUNA TERJEJAS TERIMA REBAT AIR 12 PERATUS


 

Pemberian rebat air 12 peratus kepada pengguna yang terjejas kerana gangguan bekalan air tidak terancang di sekitar Pasir Gudang baru-baru ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 49,280 pengguna yang terjejas kerana gangguan bekalan air tidak terancang berikutan kejadian paip pecah di Persiaran Seri Alam, dekat Pasir Gudang akan diberikan rebat air sebanyak 12 peratus.

Berkongsi mengenai perkara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan khabar gembira tersebut hasil perbincangan antara kerajaan negeri bersama Ranhill SAJ untuk kesemua pengguna terlibat.

“Syukur Alhamdulillah. Hasil perbincangan kerajaan negeri bersama pihak Ranhill SAJ, kesemua 49,280 pengguna yang terjejas akibat ketiadaan bekalan air di Pasir Gudang tempoh hari akan diberi rebat air sebanyak 12 peratus.

“Ini termasuk pengguna domestik, domestik pukal, institusi keagamaan dan kebajikan,” katanya menerusi posting dimuatnaik di Facebook rasminya, hari ini.

Onn Hafiz turut berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan sedikit beban pengguna selain memohon maaf kepada penduduk serta sektor perniagaan yang telah mengalami kesulitan akibat kejadian tersebut.

“Meskipun masalah kebocoran paip yang berlaku adalah di luar jangka, namun kerajaan negeri akan pastikan prosedur yang lebih berkesan untuk menangani isu sebegini jika ia berlaku lagi.

“Isu ketiadaan air adalah perkara serius yang tidak akan dipandang ringan oleh kerajaan negeri. Insha Allah, kami akan sentiasa pantau masalah berbangkit untuk diselesaikan demi keselesaan hidup Bangsa Johor,” ujarnya lagi.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor