BANTUAN PERUMAHAN KASIH JOHOR FASA 6 MULA DISALUR 10 OKTOBER DEPAN

Inisiatif PKJ yang kini memasuki fasa keenam akan melibatkan peruntukan sebanyak RM24.2 juta yang merangkumi tiga kategori bantuan, iaitu 3,700 penerima Bantuan Beli Rumah Pertama, 620 penerima Bantuan Masuk Rumah Pertama dan 1,790 penerima Bantuan Sewa Rumah. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Seramai 6,110 penerima Bantuan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 6 akan mula menerima manfaat inisiatif berkenaan menerusi majlis penyerahan yang bakal berlangsung pada 10 Oktober ini di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.
Inisiatif PKJ yang kini memasuki fasa keenam akan melibatkan peruntukan sebanyak RM24.2 juta yang merangkumi tiga kategori bantuan, iaitu 3,700 penerima Bantuan Beli Rumah Pertama, 620 penerima Bantuan Masuk Rumah Pertama dan 1,790 penerima Bantuan Sewa Rumah, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Pemohon yang berjaya akan menerima notifikasi melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) berdasarkan maklumat yang didaftarkan semasa permohonan dibuat sebelum ini.
Pemohon dinasihatkan supaya menyemak e-mel termasuk ruangan ‘Spam’ atau ‘Junk’, selain mengikuti saluran rasmi PKPJ bagi mendapatkan maklumat dan pengesahan berkaitan keputusan permohonan.
Menerusi pelaksanaan Fasa 6, jumlah keseluruhan peruntukan Kerajaan Negeri bagi bantuan PKJ kini mencecah RM84.19 juta, sekali gus memberi manfaat kepada 21,236 penerima.
Inisiatif berkenaan meneruskan usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat mendapatkan sokongan berkaitan keperluan perumahan, khususnya melalui bantuan membeli rumah pertama, memasuki rumah pertama dan menampung kos sewa rumah.
Selain PKJ, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif perumahan lain termasuk Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Kasih Johor (RKJ) dan Rumah Prihatin Johor (RPJ) bagi memperluas akses rakyat kepada kediaman yang bersesuaian.
Kerajaan Negeri juga bakal memperluas inisiatif perumahan iaitu Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan, dengan bantuan sebanyak RM1,000 bagi membantu individu yang berdepan kekangan menyediakan deposit untuk menyewa rumah.
#JohorSafeZone
#PerumahanKasihJohor
#RumahMampuMilikJohor
#BangsaJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



