JOHOR TERUS DOMINASI SEKTOR IAT, CATAT RM517 JUTA NILAI JUALAN
Oleh: Suhana Ariffin

Ekspo IAT 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober menyasarkan nilai jualan RM400,000, selain memperkukuh potensi produk dalam menggalakkan pembelian berulang, meningkatkan keyakinan pengguna dan membina jenama untuk jangka panjang. | Foto Nurina Aisyah
#JohorBahru- Sektor Industri Asas Tani (IAT) di Johor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat nilai jualan sebanyak RM517 juta pada tahun 2025 yang melibatkan seramai 1,800 usahawan di seluruh negeri ini.
Pencapaian berkenaan mencerminkan potensi sektor IAT dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan dan produk berasaskan hasil pertanian.
Seiring dengan usaha memperkukuh sektor berkenaan, Ekspo IAT 2026 ini akan melibatkan seramai 50 usahawan daripada 10 daerah di Johor yang dipilih daripada 150 permohonan yang dikemukakan sebelum ini.
Mereka akan dihimpunkan menerusi program berkenaan, sekali gus membantu usahawan berkenaan memperluas akses pasaran, memperkukuh jenama serta meningkatkan daya saing pada masa akan datang.
Penganjuran Ekspo IAT 2026 yang bermula pada 2 hingga 4 Oktober ini turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM400,000 dalam tempoh tiga hari ia berlangsung, namun sasaran berkenaan bukanlah dinilai daripada jualan semata-mata, tetapi berdasarkan kepada keupayaan produk itu sendiri dalam menggalakkan pembelian berulang, membina keyakinan pengguna serta membangunkan jenama untuk tempoh jangka masa panjang.
Bertemakan ‘Menyingkap Warisan Tani, Mengukir Nilai Global’ secara tidak langsung memperagakan kesungguhan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa produk warisan dan hasil pertanian Johor agar terus kekal sebagai satu identiti tempatan.
Selain itu menerusi program ini, ia turut diharapkan dapat meningkatkan potensi perniagaan usahawan tani Johor untuk menembusi pasaran yang lebih luas dengan meningkatkan kualiti produk, pembungkusan, kapasiti pengeluaran, pensijilan dan strategi pemasaran yang lebih berkesan.
Dalam pada itu, Jabatan Pertanian Negeri Johor (JPNJ) memperuntukkan sebanyak RM4.1 juta pada tahun ini bagi membantu 130 usahawan Industri Asas Tani (IAT) di negeri ini menerusi pelaksanaan Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Johor 2026.
Peruntukan tersebut merangkumi pelbagai jenis bantuan termasuk pembinaan baharu atau menaiktaraf bengkel pemprosesan makanan IAT berjumlah (RM80,000); mesin serta teknologi pemprosesan dan pembungkusan (RM30,000); reka bentuk pembungkusan dan pelabelan (RM20,000) serta sistem dan teknologi berteraskan internet of things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) sebanyak RM100,000.
Terdahulu, YB Tuan Haji Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Ekspo Industri Asas Tani (IAT) Johor 2026 di Pusat Beli-belah Plaza Angsana, Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#JPNJ
#EkspoIATJohor
#UsahawanJohor
#IATJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



