PKOB JOHOR DIAKTIFKAN, PERKUKUH TINDAKAN TANGANI JEREBU

Kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor bermula hari ini, bagi memperkukuh pemantauan dan penyelarasan tindakan bersepadu dalam menangani situasi jerebu demi melindungi kesihatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.
PKOB Johor yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari itu akan mengemas kini maklumat berkaitan ramalan cuaca, arah tiupan angin dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebagai asas pemantauan serta penyelarasan tindakan susulan mengikut perkembangan semasa berkaitan dengan situasi jerebu.
Kesihatan murid dan kanak-kanak turut menjadi keutamaan apabila Kerajaan Negeri menetapkan pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sekolah dan institusi pendidikan, termasuk institusi pendidikan agama sehingga 16 Oktober 2026.
Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sedang membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terperinci bagi menjamin kelancaran pengurusan peperiksaan sepanjang tempoh jerebu ini, selain ia juga bertindak sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya keadaan bertambah serius.
Kerajaan Negeri juga mempergiat usaha meningkatkan kesedaran awam melalui kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ); Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Johor; Media Digital Johor (MDJ); ketua kampung, ketua masyarakat serta pemimpin setempat bagi menyampaikan maklumat dan pendidikan kesihatan berkaitan jerebu.
Sementara itu, Mesyuarat Task Force Bencana Jerebu Negeri Johor akan diadakan setiap hari pada jam 12 tengah hari dan ia akan dipengerusikan oleh YB Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) yang akan membolehkan perkembangan situasi dinilai dan tindakan bersesuaian dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa.
Terdahulu, Kerajaan Negeri mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor yang diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkaitan Pelan Tindakan Bencana Jerebu, hari ini.
#JohorSafeZone
#PKOBJohor
#JerebuJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


