JOHOR NEGERI PERTAMA PERKENAL INISIATIF PENGHANTARAN UBAT RANGKAIAN SEJUK, BANTU PESAKIT AKSES RAWATAN LEBIH MUDAH
YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor merasmikan majlis pelancaran Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rangkaian Sejuk serta menyempurnakan penyerahan sumbangan berkenaan di Poliklinik HSA. | Foto MDJ Afizuddin
#JohorBahru – Akses kepada penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti di negeri ini terus diperkasakan apabila Johor menjadi negeri pertama di negara ini yang memperkenalkan inisiatif Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rangkaian Sejuk kepada pesakit.
Inisiatif terbaharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor ini akan membolehkan pesakit menerima bekalan ubat susulan terus di rumah tanpa perlu lagi hadir secara fizikal ke kaunter farmasi di fasiliti kesihatan di negeri ini pada hari yang sama.
Inisiatif berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Pos Malaysia itu akan menggunakan motosikal elektrik bagi menghantar ubat yang memerlukan kawalan suhu, sekali gus memastikan kualiti dan kestabilan ubat sentiasa dalam keadaan terpelihara sepanjang proses penghantaran sehingga ia diterima pesakit.
Sejak 1 Ogos 2026, perkhidmatan berkenaan telah diperkenalkan di enam fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di daerah Johor Bahru, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA); Hospital Sultan Ismail (HSI); Hospital Pasir Gudang (HPG); Klinik Kesihatan (KK) Bukit Indah; KK Kempas dan KK Pasir Gudang.
Justeru bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM49,500 bagi tempoh 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2027, dengan jangkaan kira-kira 275 pesakit sebulan akan menerima manfaat berkenaan menerusi enam fasiliti perintis berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) percuma yang telah diperkenalkan sejak 1 Ogos 2024 terus memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan, selain mengurangkan beban kewangan dan kesesakan di kaunter farmasi.
Sehingga 31 Ogos 2026, sebanyak 469,657 bungkusan ubat sudah dihantar menerusi perkhidmatan UMP dengan kos penghantaran berjumlah RM2.77 juta yang telah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor.
Peningkatan penggunaan perkhidmatan itu turut dapat dilihat menerusi pertambahan purata penghantaran bulanan daripada 9,664 bungkusan sebelum pelaksanaan perkhidmatan percuma kepada 24,937 bungkusan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Selain kemudahan penghantaran ubat, usaha meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan di HSA turut disokong menerusi sumbangan dua unit ambulans dan 16 katil unit rawatan rapi (ICU) oleh Perbadanan Islam Johor (PIJ), serta empat unit mesin biomikroskop bagi pemeriksaan mata di Jabatan Oftalmologi HSA menerusi Yayasan Sultanah Fatimah (YSF).
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, merasmikan majlis pelancaran Perkhidmatan Penghantaran Ubat Rangkaian Sejuk serta menyempurnakan penyerahan sumbangan berkenaan di Poliklinik HSA, hari ini.
#KesihatanJohor
#HospitalSultanahAminah
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



