BELANJAWAN 2027 PERKUKUH DAYA TARIKAN JOHOR KEPADA PELABUR

YBhg. Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), melihat Belanjawan 2027 sebagai pemangkin untuk memperkukuh daya saing Johor dalam menarik pelaburan bernilai tinggi, khususnya bagi operasi perniagaan serantau. | Foto IIB
#IskandarPuteri – Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada Jumaat lalu secara tidak langsung turut memperkukuh daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi menerusi penambahbaikan insentif fiskal, pembangunan bakat, kesalinghubungan dan kemudahan perumahan bagi menyokong pertumbuhan operasi perniagaan serantau.
Langkah berkenaan disambut baik oleh YBhg. Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), yang melihat Belanjawan 2027 sebagai pemangkin untuk memperkukuh daya saing Johor dalam menarik pelaburan bernilai tinggi, khususnya bagi operasi perniagaan serantau.
Antara inisiatif utama ialah penambahbaikan insentif Hab Perkhidmatan Global (GSH) yang menawarkan kadar cukai lima peratus ke atas pendapatan yang layak bagi syarikat baharu yang memenuhi syarat, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) di Medini.
Usaha itu turut memperkukuh potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang merekodkan pelaburan RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026, dengan pelancaran Pelan Induk dan Rangka Tindakan JS-SEZ dirancang menjelang hujung tahun ini.
Di Medini, sebanyak 47 syarikat GBS telah beroperasi dan mewujudkan kira-kira 7,200 pekerjaan sejak 2013, mencerminkan potensi ekosistem perniagaan tersebut dalam menarik operasi serantau serta membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Bagi aspek pembangunan tenaga kerja pula, Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) menyasarkan lebih 200,000 pekerjaan baharu yang berkualiti dan inklusif menjelang 2030, disokong peruntukan sebanyak RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh kementerian serta RM3 bilion melalui HRD Corp dalam Belanjawan 2027.
Sokongan terhadap pengangkutan awam, termasuk Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) di Johor Bahru serta penambahbaikan perkhidmatan bas dan rel komuter menjelang pembukaan RTS Link, turut dijangka meningkatkan lagi kesalinghubungan antara kawasan kediaman dengan pusat pekerjaan.
IIB akan terus memperkukuh hubungan antara pelabur dengan ekosistem perniagaan, pendidikan dan teknologi bagi mempercepatkan pelaksanaan pelaburan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan rantaian pembekal tempatan.
#JohorSafeZone
#Belanjawan2027
#PelaburanJohor
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


