PANEL SOLAR BANTU PENGUSAHA AKUAKULTUR JIMAT KOS BAHAN API

Kerajaan Negeri Johor terus memperkasa sektor akuakultur melalui teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta merancakkan pertumbuhan ekonomi rakyat. | Foto FB Israk Abdullah
#Pontian – Penggunaan teknologi hijau khususnya menerusi pemasangan sistem panel solar bukan sahaja telah membantu pengusaha akuakultur di Johor mengurangkan kos operasi, tetapi juga meningkatkan kecekapan dan daya saing industri ternakan ikan marin.
Inisiatif yang dilaksanakan menerusi Program Pendayaan Solar Akuakultur Marin itu menyaksikan seramai 47 pengusaha sangkar ikan menerima kemudahan sistem panel solar dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.33 juta daripada Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan.
Antara penerima manfaat berkenaan ialah Kukup Fresh Sdn. Bhd. di perairan Kukup, Pontian, yang menggunakan teknologi berkenaan bagi menyokong operasi penternakan ikan sangkar secara lebih cekap dan mampan.
Penggunaan tenaga solar itu dianggarkan mampu menjimatkan kos bahan api sehingga 93.13 peratus, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta membantu pengusaha menguruskan perbelanjaan operasi harian dengan lebih cekap dan mampan.
Selain memberikan penjimatan kos, penerapan teknologi hijau ini turut menyokong kelestarian ekosistem marin melalui penggunaan sumber tenaga yang lebih mesra alam dalam sektor akuakultur.
Kepentingan inisiatif ini turut dilihat menerusi sumbangan daerah Pontian yang merangkumi 45.05 peratus daripada keseluruhan pengeluaran ikan marin Negeri Johor, di samping menjadikan penggunaan teknologi moden terbabit sebagai antara langkah penting dalam memperkukuh industri berkenaan pada masa akan datang.
Kerajaan Negeri Johor akan terus memperkasa pengusaha akuakultur tempatan melalui penerapan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi serta membuka peluang pertumbuhan ekonomi kepada rakyat di negeri ini kelak.
#TaniJohor
#AkuakulturJohor
#PanelSolar
#TeknologiHijau
#Pontian
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


