JOHOR SALUR BANTUAN BAGI MENGHADAPI MTL DI KEPULAUAN MERSING
Oleh: Suhana Ariffin

YB Puan Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor pada Program Penghantaran dan Penyerahan Barangan ke Pangkalan Hadapan (PH) di Kepulauan Mersing. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Mersing – Kerajaan Johor terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) menerusi penyaluran bantuan dan penempatan stok Pangkalan Hadapan (PH) di Kepulauan Mersing bagi memastikan kebajikan serta keperluan penduduk di kawasan kepulauan terus terjamin.
Bagi tujuan itu, Kerajaan Johor memperuntukkan RM1 juta sebagai langkah persediaan menghadapi MTL, khususnya bagi memastikan bekalan keperluan dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat kekangan pergerakan dan keadaan cuaca tidak menentu sepanjang musim monsun.
Menerusi penyerahan ini, sebanyak 202 kit makanan yang mengandungi barangan keperluan asas akan disalurkan kepada Ketua Isi Rumah (KIR), termasuk kakitangan kerajaan yang menetap di lima pulau berkenaan, iaitu Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.
Penempatan stok bekalan di Pangkalan Hadapan (PH) turut mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih teratur dan segera apabila diperlukan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang MTL.
Terdahulu, YB Puan Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, hadir ke Program Penghantaran dan Penyerahan Barangan ke Pangkalan Hadapan (PH) di Kepulauan Mersing.
#JohorSafeZone
#KesiapsiagaanMTL2026
#MesmerisingMersing
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



