PANTI BIRD RACE 2026 TONJOL BIODIVERSITI, ANGKAT POTENSI EKOPELANCONGAN JOHOR
Oleh: Suhana Ariffin

Johor International Panti Bird Race 2026 menghimpunkan peminat pemerhatian burung di Suaka Burung Panti bagi mengetengahkan kekayaan biodiversiti dan kepentingan pemuliharaan alam semula jadi. | Foto Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ)
#KotaTinggi – Suaka Burung Panti menjadi lokasi penganjuran Johor International Panti Bird Race 2026 yang menghimpunkan peminat pemerhatian burung dan pencinta alam semula jadi bagi mengetengahkan kekayaan biodiversiti serta kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan habitat hidupan liar di negeri ini.
Program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) yang berlangsung pada 10 dan 11 Oktober lalu ini memberi tumpuan kepada aktiviti pemerhatian dan pengenalpastian spesies burung atau ‘birdwatching’ sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelestarian ekosistem hutan.
Selain pertandingan bird race, program ini turut menampilkan pameran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF).
Pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan seperti penyediaan herbarium, seni serangga (insect art) dan sukan rakyat turut diadakan bagi memperluas pengetahuan dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaan khazanah semula jadi.
Penganjuran ini turut menyerlahkan potensi Suaka Burung Panti sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan pemerhatian burung atau ‘avitourism’ yang menggabungkan pengalaman rekreasi dan pendidikan dengan keunikan biodiversiti setempat.
Pada masa sama, aktiviti mengenal pasti dan mendokumentasikan spesies burung berpotensi menyumbang kepada pengumpulan data berkaitan kepelbagaian serta taburannya sekali gus menyokong usaha pemantauan biodiversiti dan perlindungan habitat hidupan liar.
Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkaya produk ekopelancongan negeri serta mendukung aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 melalui penawaran pengalaman pelancongan yang mengetengahkan keunikan dan kekayaan khazanah alam Johor.
#JohorSafeZone
#JPNJ
#TourismJohor
#PantiBirdRace2026
#EkoPelanconganJohor
#Avitourism
#TahunMelawatJohor2026
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



