JCORP TIADA OPERASI LADANG DI LUAR MALAYSIA

Sebarang usaha untuk memutarbelitkan fakta sehingga menimbulkan persepsi bahawa JCorp, sebagai institusi pelaburan milik Kerajaan Johor, terlibat dalam kejadian berkenaan tidak boleh dipandang ringan, tegas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memandang serius laporan yang cuba mengaitkan Johor Corporation (JCorp) dengan isu kebakaran hutan di Indonesia dan menegaskan bahawa fakta sebenar perlu diperjelas bagi mengelakkan sebarang penyebaran dakwaan yang boleh mengelirukan masyarakat.
Sebarang usaha untuk memutarbelitkan fakta sehingga menimbulkan persepsi bahawa JCorp, sebagai institusi pelaburan milik Kerajaan Johor, terlibat dalam kejadian berkenaan tidak boleh dipandang ringan, tegas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Menurut kenyataan rasmi JCorp sebelum ini, institusi berkenaan bersama syarikat-syarikat dalam kumpulannya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
Fakta berkaitan pelupusan kepentingan syarikat turut memperjelas kedudukan tersebut apabila Kulim (Malaysia) Berhad, melalui anak syarikatnya, melupuskan kepentingan dalam lima syarikat perladangan di Indonesia pada 2007.
Pada 6 Julai 2023, Kulim turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi syarikat di Indonesia.
Justeru, dakwaan yang mengaitkan JCorp dengan pemilikan atau pengendalian semasa syarikat-syarikat berkenaan serta kejadian kebakaran hutan tersebut disifatkan sebagai palsu dan mengelirukan.
Kerajaan Johor menegaskan bahawa ketelusan dan akauntabiliti merupakan prinsip penting yang perlu dipelihara, namun setiap dakwaan hendaklah berasaskan fakta dan disokong bukti yang sahih, bukannya dibentuk melalui persepsi yang tidak berasas sama sekali.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga komited untuk terus mempertahankan integriti, kredibiliti dan reputasi negeri daripada sebarang tuduhan tidak berasas.
#JohorSafeZone
#JCorp
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



