GETARJB TERUS MARTABATKAN SENI TEATER JOHOR MENERUSI PEMENTASAN ‘MENTERA DENDAM MEGAT PUTERA’

Persatuan Gerak Teater Tari Johor Bahru (GETARJB) dengan kerjasama Yayasan JCorp dan Tourism Johor bakal mementaskan teater Mentera Dendam Megat Putera pada 20 hingga 22 November 2026 di Auditorium Permata Sari, RTM Johor. | Foto GETARJB
#JohorBahru – Persatuan Gerak Teater Tari Johor Bahru (GETARJB) dengan kerjasama Yayasan JCorp dan Tourism Johor terus mempergiat usaha mengangkat martabat seni teater Johor menerusi pementasan Mentera Dendam Megat Putera yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 November 2026 di Auditorium Permata Sari, RTM Johor.
Karya terbitan Senjakala ini mengetengahkan sebuah naskhah teater Melayu yang menggabungkan elemen dramatik, budaya dan estetika tradisional, sekali gus mengangkat keunikan seni persembahan tempatan menerusi penceritaan yang sarat dengan elemen konflik serta emosi.
Mengisahkan Putera Megat iaitu seorang pewaris takhta kerajaan Inderapura yang berdepan kehilangan tunangnya, Puteri Ratnasari, pementasan ini akan membawa penonton untuk turut sama menyelami pergolakan cinta, pengkhianatan, kuasa dan dendam yang mengancam keharmonian sebuah kerajaan.
Naskhah ini turut menampilkan keunikan busana pembesar Melayu dan Jawa bagi menghidupkan latar serta suasana cerita, selain ia juga turut memperlihatkan keindahan seni dan budaya Melayu melalui pendekatan teater yang dramatik.
Usaha ini menyusul selepas kejayaan GETARJB menerusi naskhah Teater Dalang yang meraih gelaran Johan Festival Teater Malaysia Zon Selatan (FTMZS) 2026, selain membawa pulang empat anugerah utama iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Perempuan Terbaik dan Sinografi Terbaik.
Secara tidak langsung, kejayaan tersebut telah menjadi pemangkin semangat kepada warga seni GETARJB untuk terus mengangkat martabat seni teater Johor serta membuktikan kemampuan anak seni tempatan di pentas teater nasional.
Terdahulu, berlangsungnya sidang media teater Mentera Dendam Megat Putera anjuran GETARJB bagi memperkenalkan barisan produksi, perkongsian sinopsis cerita serta mempromosikan maklumat berkaitan pementasan di Novotel Hotel Johor Bahru, hari ini.
Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk menyaksikan pementasan Mentera Dendam Megat Putera pada tarikh berkenaan boleh mendapatkan tiket pada harga antara RM20 hingga RM45 mengikut kategori tempat duduk. Tempahan dan pertanyaan tiket boleh dibuat dengan menghubungi Lisa di talian 012-317 6768.
#JohorSafeZone
#GetarJB
#TourismJohor
#YayasanJCorp
#VisitJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


