HORMATI INSTITUSI RAJA, HAYATI RUKUN NEGARA DALAM BERPOLITIK

Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara perlu diterjemahkan melalui tindakan, manakala prinsip Kesopanan dan Kesusilaan menuntut setiap pihak, khususnya dalam kalangan pemimpin, supaya menjaga adab, kelakuan, bahasa dan pendekatan ketika menyentuh institusi Raja. | Foto Royal Press Office
#IskandarPuteri – Keputusan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, sekali gus membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara berkaitan kes SRC International melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, perlu dilihat dalam kerangka Raja Berperlembagaan dan Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas mengenai perkara itu, Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), berpandangan keputusan berkaitan pengampunan itu perlu dihormati oleh semua pihak sebagai sebahagian daripada kerangka kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, dalam sebuah negara yang mengamalkan Raja Berperlembagaan, penghormatan terhadap Yang di-Pertuan Agong bukan soal kecenderungan politik, sebaliknya berkait rapat dengan kesetiaan kepada Perlembagaan dan kedaulatan negara.
Hak bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan pula tidak boleh ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak apabila menyentuh hal berkaitan institusi Raja, sebaliknya kritikan, persoalan dan perbezaan pandangan perlu disampaikan secara berfakta, beradab serta melalui saluran yang sah.
Beliau berpandangan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara perlu diterjemahkan melalui tindakan, manakala prinsip Kesopanan dan Kesusilaan menuntut setiap pihak, khususnya dalam kalangan pemimpin, supaya menjaga adab, kelakuan, bahasa dan pendekatan ketika menyentuh institusi Raja.
Perbezaan pandangan, menurutnya, tidak seharusnya dilihat sebagai penderhakaan, namun penghinaan, provokasi atau tindakan yang sengaja mencabar institusi negara merupakan perkara berbeza dan tidak mencerminkan budaya kenegaraan yang matang.
Dalam perkembangan media digital hari ini, beliau turut mengingatkan pemimpin dan masyarakat supaya memahami fakta, proses serta kedudukan sesuatu keputusan dalam Perlembagaan sebelum menjadikannya polemik terbuka yang berpotensi mengelirukan masyarakat.
Justeru, penghayatan Rukun Negara tidak seharusnya terhenti pada lafaz ikrar atau menjadi sekadar simbol, sebaliknya perlu dizahirkan melalui kematangan dalam berpolitik, penghormatan terhadap institusi negara serta kesediaan menerima aturan Perlembagaan.
Beliau menegaskan bahawa politik boleh berubah dan kerajaan boleh bertukar, namun institusi Raja, Perlembagaan dan Rukun Negara merupakan asas bersama yang perlu terus dihormati serta dipelihara oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa ada yang terkecuali.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


