RM191 JUTA DIPERUNTUKKAN LAKSANA 10 PROJEK SAKJ

Sementara itu, bagi tempoh 2022 hingga 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM79.076 juta bagi melaksanakan 717 kerja pembaikan sekolah agama. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM191 juta bagi melaksanakan projek pembinaan melibatkan 10 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) yang merangkumi pembinaan sembilan sekolah baharu dan sebuah bangunan tambahan sebagai usaha untuk memperkukuh infrastruktur pendidikan Islam di seluruh negeri ini.
Antara sembilan sekolah baharu akan dibina ialah Maahad Johor Lil Banat di Larkin, Johor Bahru; Sekolah Agama (SA) Medini, Johor Bahru; SA Sri Jong 2, Muar; SA Taman Nusa Perintis 1, Johor Bahru dan SA Taman Pulai Mutiara, Kulai.
Selain itu, ia turut melibatkan SA Taman Seri Impian, Kluang; SA Segamat Baru, Segamat; SA Taman Desaru Utama, Kota Tinggi serta SA Bandar Putera Indah, Batu Pahat.
Manakala sebuah bangunan tambahan akan dibina di SA Al Imtiyaz Sri Kota Puteri, Johor Bahru bagi meningkatkan kapasiti serta kemudahan pembelajaran murid menerusi pengumuman Belanjawan Johor 2027 oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, semalam.
Secara keseluruhan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengenal pasti 43 sekolah agama yang memerlukan pembangunan infrastruktur, merangkumi 26 pembinaan sekolah baharu, 11 bangunan tambahan serta enam cadangan penggunaan premis secara guna sama dengan Sekolah Kebangsaan.
Dalam masa sama, sebanyak 333 sekolah agama telah dikenal pasti masih memerlukan kerja-kerja baik pulih berdasarkan rekod permohonan dan penilaian Bahagian Pendidikan Islam JAINJ, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM30 juta.
Daripada jumlah itu, 273 sekolah dikategorikan pada Tahap 1 (Kritikal); 88 sekolah pada Tahap 2 (Separa Kritikal) manakala tiga sekolah lagi berada pada Tahap 3 (Tidak Kritikal).
Sementara itu, bagi tempoh 2022 hingga 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM79.076 juta bagi melaksanakan 717 kerja pembaikan sekolah agama.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menjawab mengenai inisiatif penambahbaikan pendidikan Islam di negeri ini pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


