IIB SAMBUT BAIK BELANJAWAN JOHOR 2027, PERKUKUH PEMBANGUNAN BERSEPADU

Iskandar Investment Berhad (IIB) menzahirkan sokongan penuh terhadap Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan menyifatkannya sebagai rangka tindakan menyeluruh dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat serta kesejahteraan Bangsa Johor. / Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Iskandar Investment Berhad (IIB) menzahirkan sokongan penuh terhadap Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dengan menyifatkannya sebagai rangka tindakan menyeluruh dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat serta kesejahteraan Bangsa Johor.
Sokongan itu turut mengambil kira prestasi semasa ekonomi negeri yang memberangsangkan apabila Johor merekodkan kutipan hasil sebanyak RM2.8 bilion setakat pembentangan belanjawan semalam atau bersamaan 110 peratus daripada unjuran asal, selain ia juga dijangka melepasi angka RM3 bilion buat pertama kali menjelang akhir 2026.
Momentum ekonomi negeri turut diperkukuh menerusi pencapaian pelaburan diluluskan sebanyak RM99.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, sekali gus meletakkan Johor sebagai destinasi pelaburan utama negara.
YB Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB menjelaskan bahawa prestasi kewangan negeri yang kukuh serta peningkatan keyakinan pelabur menjadi asas penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi ini dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pelaburan, IIB turut menyokong peruntukan RM4.5 juta bagi memperkasakan Invest Johor dan RM2 juta untuk Johor Global Investment Quest bagi menarik pelaburan berkualiti serta meneroka pasaran baharu.
Perkembangan positif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut membuka peluang pelaburan lebih luas apabila jumlah pelaburan terkumpul berkaitan inisiatif berkenaan mencecah RM272 bilion dalam tempoh empat tahun lalu, termasuk RM132 bilion bagi tempoh Jun 2025 hingga Jun 2026.
Di samping itu, pembangunan tenaga kerja mahir terus menjadi keutamaan melalui inisiatif seperti Program Pembangunan Kemahiran Johor (PRO-MAHIR PLUS) dengan peruntukan RM4 juta, geran peralatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebanyak RM1 juta serta Kajian Jurang Bakat dan Kemahiran Johor-Singapura.
Seiring dengan usaha tersebut, EduCity yang menempatkan 11 institusi pendidikan tempatan serta antarabangsa telah melahirkan hampir 10,000 graduan dan bagi maksud itu, IIB berhasrat untuk terus memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan pemain industri bagi memastikan bakat tempatan memenuhi keperluan sektor ekonomi bernilai tinggi.
Dalam aspek pembangunan bandar dan kesejahteraan komuniti, IIB turut mengalu-alukan peruntukan RM52 juta bagi memperkukuh inisiatif bandar pintar dan sistem digital pihak berkuasa tempatan (PBT), selain penekanan terhadap infrastruktur mampan serta jaringan keselamatan sosial.
Pendekatan pembangunan inklusif itu turut selari dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan 11,500 rumah mampu milik pada 2027, di samping pelaksanaan 85 inisiatif di bawah teras Jaringan Keselamatan Sosial bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan rentan.
#BelanjawanJohor2027
#IskandarInvestmentBerhad
#IIB
#JSSEZ
#PelaburanJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


