BKJ FASA 7 MANFAATKAN WARGA EMAS, PESAKIT KANSER DAN PEKEBUN KECIL

BKJ Fasa 7 ini akan memberi tumpuan kepada tiga kategori penerima, iaitu warga emas, pesakit kanser dan dialisis serta pekebun kecil B40, dengan bantuan sebanyak RM200 seorang. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengambil kira keperluan dan rintihan rakyat dengan bersetuju meneruskan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 7 yang akan dilaksanakan pada Jun tahun 2027.
BKJ Fasa 7 ini akan memberi tumpuan kepada tiga kategori penerima, iaitu warga emas, pesakit kanser dan dialisis serta pekebun kecil B40, dengan bantuan sebanyak RM200 seorang.
Bagi BKJ Warga Emas, lebih 400,000 penerima akan menerima bantuan dengan peruntukan sebanyak RM83 juta, manakala BKJ Pesakit Kanser dan Dialisis pula akan melibatkan lebih 14,000 penerima dengan peruntukan bernilai RM2.9 juta.
BKJ Pekebun Kecil B40 pula bakal memanfaatkan lebih 21,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM4.3 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan BKJ Fasa 7 sebanyak RM90.2 juta bagi lebih 435,000 penerima.
Keputusan meneruskan bantuan ini memperlihatkan respons Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat dengan memastikan bantuan terus disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Pada pembentangan Belanjawan Johor 2027 sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan BKJ Fasa 5 dan Fasa 6 yang masing-masing bermula pada Disember 2026 dan Februari 2027, melibatkan pelbagai kategori penerima.
Ketika itu, Kerajaan Negeri turut menyatakan bahawa bantuan ini boleh diperluas kepada lebih ramai Bangsa Johor sekiranya hasil negeri bertambah, sekali gus membuka ruang kepada bantuan tambahan untuk rakyat pada masa hadapan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



