RM46.6 JUTA PERKASA MITIGASI GAJAH LIAR DI JOHOR

Kerajaan Johor akan terus memperkukuh usaha menangani konflik manusia-gajah khususnya di kawasan Bekok dan Labis, Segamat menerusi Program Mitigasi dan Pengurusan Populasi Gajah Liar di Negeri Johor di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan kos keseluruhan projek yang dirancang sebanyak RM46.638 juta. / Foto MDJ Nazreen Aimie
#IskandarPuteri– Kerajaan Johor akan terus memperkukuh usaha menangani konflik manusia-gajah khususnya di kawasan Bekok dan Labis, Segamat menerusi Program Mitigasi dan Pengurusan Populasi Gajah Liar di Negeri Johor di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan kos keseluruhan projek yang dirancang sebanyak RM46.638 juta.
Program berkenaan merangkumi pembinaan halangan fizikal atau ele-fence, operasi translokasi, penambahan aset operasi serta pembangunan Bank Makanan Gajah bagi mengurangkan risiko kemasukan gajah liar ke kawasan pertanian, penempatan dan infrastruktur awam, sekali gus melindungi keselamatan penduduk.
Antara projek yang dirancang ialah pembinaan ele-fence di kawasan kritikal konflik manusia-gajah khususnya di laluan Bekok–Labis–Empangan Juasseh dengan anggaran jajaran sepanjang 30 hingga 67 kilometer. Projek perintis kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Universiti Teknokogi Petronas Malaysia (UTP) itu telah mendapat kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), RMK-13, namun ia juga masih memerlukan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor kerana melibatkan tanah kerajaan negeri.
Dalam usaha memperkasakan operasi menangkap dan memindahkan gajah liar di kawasan titik panas, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 melalui peruntukan EFT bagi tahun 2025 dan 2026. Pada 2025, sebanyak 23 ekor gajah berjaya ditangkap dan dipindahkan, termasuk dua ekor daripadanya dari daerah Segamat.
Pendekatan pengurusan habitat mamalia berkenaan turut diperkasa menerusi inisiatif Bank Makanan Gajah yang melibatkan penyertaan 10 ladang seluas keseluruhan 19.7 hektar melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain ia diperluaskan ke daerah Segamat menerusi pembangunan Bank Makanan Gajah di Hutan Simpan Labis yang bersempadan dengan Ladang Timor. Ia juga telah mendapat kelulusan peruntukan di bawah RP2, RMK-13 dengan kerja-kerja awalan dijadualkan bermula pada 2027.
Melalui pelaksanaan program berkenaan, Kerajaan Negeri menyasarkan pengurangan lebih 50 peratus aduan konflik manusia-gajah di kawasan sasaran terpilih serta lebih 40 peratus kerugian tanaman menjelang 2035.
Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terus terpelihara, di samping menjaga kebajikan serta kelestarian habitat hidupan liar.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, menjawab soalan YB Tuan Tan Chong, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bekok berkaitan tindakan Kerajaan Negeri menangani konflik gajah liar yang mengancam tanaman dan keselamatan penduduk Bekok, pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027), Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#KonflikManusiaGajah
#Bekok
#Segamat
#Perhilitan
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


