TAAT SETIA KEPADA RAJA DAN NEGARA TERUS JADI PEGANGAN BANGSA JOHOR

Pendirian itu turut dizahirkan melalui penghargaan dan junjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas limpah perkenan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam menaungi negara serta seluruh rakyat. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menegaskan komitmen untuk terus menjunjung tinggi kedaulatan Institusi DiRaja serta memelihara taat setia kepada Raja dan negara sebagai asas kepada kestabilan, keharmonian dan kelangsungan pemerintahan di negeri ini.
Pendirian itu turut dizahirkan melalui penghargaan dan junjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas limpah perkenan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam menaungi negara serta seluruh rakyat.
Kerajaan Negeri turut menzahirkan penghargaan dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas segala titah, nasihat dan panduan yang menjadi pedoman kepada Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab pentadbiran.
Taat setia kepada Institusi DiRaja bukan sekadar adat dan tradisi, sebaliknya merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan, keharmonian serta kelangsungan pemerintahan negeri dan negara.
Justeru, Kerajaan Negeri berpendirian teguh bahawa Institusi DiRaja sama sekali tidak boleh dijadikan alat politik atau dipolitikkan demi kepentingan mana-mana pihak, sebaliknya setiap keputusan yang dibuat hendaklah menurut lunas Perlembagaan yang mesti dihormati, manakala sebarang perbezaan pandangan tidak boleh dijadikan alasan untuk menderhaka atau menghina Institusi DiRaja.
Pendirian Kerajaan Negeri Johor jelas untuk mempertahankan kedaulatan Institusi DiRaja, menghormati Perlembagaan dan menolak apa-apa bentuk penderhakaan kerana pemimpin boleh berubah dan kerajaan boleh bertukar, tetapi taat setia kepada Raja dan negara mesti terus dipertahankan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


