MIDBR 2026 PACU PELANCONGAN SUKAN ANTARABANGSA DI BANDAR MAHARANI

Penganjuran Muar International Dragon Boat Regatta (MIDBR) 2026 sebagai pengisian Tahun Melawat Johor 2026 bertujuan mengangkat Muar sebagai destinasi pelancongan sukan antarabangsa, selain mengetengahkan keunikan warisan sejarah dan kebersihan bandar yang diiktiraf di peringkat ASEAN. | Foto Nazreen Aimie
Kejohanan Muar International Dragon Boat Regatta (MIDBR) 2026 anjuran Kerajaan Negeri Johor melalui Tourism Johor dengan kerjasama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Pentadbiran Daerah Muar, Majlis Perbandaran Muar serta Persatuan Kanu Negeri Johor melabuhkan tirainya di Dataran Tanjung Emas selepas berlangsung selama tiga hari sejak 27 November lalu.
Sebanyak 49 pasukan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Ireland bertanding dalam empat kategori telah menghangatkan cabaran di laluan 300 meter untuk merebut gelaran juara serta habuan wang tunai keseluruhan berjumlah RM44,000.
Penganjuran MIDBR 2026 merupakan antara pengisian utama dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2026 bagi meletakkan daerah Muar di peta pelancongan sukan antarabangsa. Selain muara Sungai Muar yang strategik untuk sukan air, Bandar Maharani dan Bandar Diraja ini turut memikat pengunjung melalui tarikan warisan sejarah serta pengiktirafan kebersihan bandar peringkat ASEAN.
Saingan sengit di atas air bagi edisi kali ini menyaksikan kehebatan empat pasukan elit merangkul gelaran juara bagi kategori masing-masing, didahului oleh kelab dari Indonesia, Podsi Kab Karimun yang mengungguli Kategori Terbuka Antarabangsa. Bagi saingan peringkat kebangsaan pula, pasukan Persatuan Kanu Negeri Terengganu (PKNT) muncul juara Kategori Lelaki Tertutup Malaysia, manakala Putrajaya A menjuarai Kategori Campuran Tertutup Malaysia, diikuti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dinobatkan sebagai juara Kategori Campuran Agensi, Jabatan dan Korporat.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Hasrin Kamal Hashim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan); Encik Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor; Tuan Haji Mohd Faiz Mohd Salleh, Setiausaha Majlis Perbandaran Muar dan Encik Muhammad Ammar Akmal Senan, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Muar hadir menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah MIDBR 2026 di Dataran Tanjung Emas, Muar.
#JohorSafeZone
#MIDBR2026
#DragonBoatRegatta
#VisitJohor2026
#Muar
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



