KERAJAAN NEGERI LANCAR GABUNGAN JOHOR SERANTAU

Gabungan berkenaan akan menjadi platform penting dalam menghimpunkan anak-anak Johor di perantauan secara lebih teratur dan berkala, sekali gus memperkukuh ikatan serta jaringan sesama Bangsa Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#Serdang – Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Gabungan Johor Serantau dengan peruntukan awal RM120,000 bagi memperkukuh jaringan anak-anak Johor di perantauan serta memastikan kebajikan dan hubungan mereka dengan negeri kelahiran terus dipelihara.
Gabungan berkenaan akan menjadi platform penting dalam menghimpunkan anak-anak Johor di perantauan secara lebih teratur dan berkala, sekali gus memperkukuh ikatan serta jaringan sesama Bangsa Johor.
Selain itu, inisiatif Ahli Dewan Negeri (ADUN) Angkat turut diteruskan dengan setiap wakil rakyat berkenaan mempunyai universiti angkat masing-masing bagi memastikan mahasiswa anak Johor di institusi pengajian tinggi (IPT) terus diberi perhatian sewajarnya dan dipelihara sepanjang berada di perantauan.
Komitmen berkenaan turut diteruskan menerusi perancangan untuk mengadakan himpunan bersama anak-anak Johor di perantauan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan sebagai kesinambungan Program Jalinan Kasih Perantau yang telah diadakan pada April lalu.
Pada masa yang sama, pelbagai bantuan dan geran turut disalurkan melibatkan golongan mahasiswa serta komuniti anak FELDA Johor yang turut berada di perantauan.
Antaranya ialah Inisiatif Mahasiswa Anak Johor berjumlah RM22.4 juta; Bantuan Laptop Siswa sebanyak RM12.5 juta; Skim Bantuan Pendaftaran sebanyak RM5 juta; serta Geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita FELDA (GPW), Majlis Belia FELDA Malaysia Negeri Johor (MBFM) dan Kami Anak FELDA (KAF) berjumlah RM1.77 juta.
Turut disalurkan ialah Bantuan Kasih Johor (BKJ) Ketua Blok FELDA berjumlah RM509,000; Geran Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor sebanyak RM200,000; serta peruntukan awal RM120,000 bagi Gabungan Johor Serantau.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, hadir ke Majlis Jalinan Kasih Perantau 2026 yang menghimpunkan mahasiswa dan anak-anak FELDA Johor di perantauan di MAEPS Serdang, Selangor, sekali gus menyempurnakan pelancaran Gabungan Johor Serantau.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#JalinanKasihPerantau #JohorMajuRakyatSejahtera
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


