WARGA PMJ IKRAR PERANGI RASUAH


Warga Politeknik Mersing (PMJ) melafazkan ikrar dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Politkenik Mersing / Gambar Ihsan Politeknik Mersing.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 60 warga Politeknik Mersing (PMJ) melafazkan ikrar dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang bermatlamat menzahirkan pendirian pengurusan tertinggi institusi politeknik itu dalam pencegahan rasuah.

Selain itu, ikrar IBR itu secara tidak langsung menunjukkan keseriusan pihak pengurusan PMJ berkaitan integriti dan tadbir urus yang baik tanpa sebarang kompromi.

Dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, pelaksanaan IBR ini adalah untuk menjadi amaran dan peringatan kepada individu khususnya warga PMJ untuk menjauhi sebarang tingkah laku jenayah rasuah.

Katanya, ia sekali gus menjadi jaminan pimpinan organisasi PMJ kepada seluruh warganya, pemegang taruh dan juga pelanggannya.

“IBR ini adalah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menerusi penzahiran akujanji kepada komitmen individu dalam pembanterasan rasuah dan bukti organisasi sudah pun mengambil langkah perlu bagi menangani jenayah itu.

“Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan imej PMJ dan memastikan sistem pentadbiran dan pengurusan politeknik ini dapat digerakkan dalam persekitaran sifar toleransi rasuah, memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan yang berteraskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan berdaya saing,” katanya.

Majlis IBR ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Akademik PMJ, Hamzah Zakaria dan ucaptama majlis berkenaan disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.

Dalam kenyataan sama, PMJ berharap menerusi program ini akan memberi impak tahap kebolehpercayaan yang tertinggi terhadap pengurusan PMJ dalam meningkatkan tadbir urus yang baik.

Selain itu, mutu dan pelaksanaan dasar perkhidmatan awam dalam kalangan seluruh warga PMJ akan dapat dijayakan dalam suasana yang berintegriti tinggi.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor