KERAJAAN JOHOR PASTIKAN PELABURAN JOHOR UTARA BERTAMBAH


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Pelbagai pelan perancangan dirangka oleh kerajaan negeri bagi memastikan pelaburan di negeri ini termasuk Johor Utara terus bertambah dan meningkat pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan oleh Invest Johor bagi menarik pelaburan ke negeri ini, antaranya Misi Galakan Pelaburan, Johor Go Global dan juga Friendly Johor.

“Perkongsian maklumat dan hebahan promosi mengenai tawaran pelaburan Negeri Johor turut giat dilaksanakan menerusi pelbagai platform media,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tangkak, Ee Chin Li mengenai usaha kerajaan negeri menarik pelabur ke Johor Utara.

Ting Han berkata, selain itu, kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Pelaburan Negeri Johor (JIC) bagi memastikan segala urusan atau hal berkaitan pembangunan sektor pelaburan dapat dikawal selia dengan baik, cekap dan efisien.

Mengulas lanjut, ujarnya, kerajaan negeri telah merangka dan memperkenalkan beberapa pelan strategi dan dasar bagi mewujudkan pertumbuhan seimbang dan menyeluruh selain memfokuskan ekonomi mengikut kekuatan wilayah atau daerah.

“Merujuk kepada Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 di bawah Teras Pemerkasaan Ekonomi dan Dasar 1 iaitu Pembangunan Berasaskan Wilayah, kerajaan akan melaksanakan projek pemangkin ekonomi dengan menumpukan penggunaan sumber ekonomi optimum yang boleh dibuat pada skala yang lebih besar, selain pelan perbandaran yang lebih terangkum dan menyeluruh.

“Kerajaan negeri turut akan melaksanakan beberapa inisiatif atau program bagi memastikan segala sasaran pembangunan yang telah ditetapkan berjaya dicapai,” katanya.

Selain itu, Ting Han berkata, antara projek pemangkin ekonomi yang sedang guat dibangunkan bagi zon atau wilayah Johor Utara adalah Zon Ekonomi Khas Pagoh yang memberi fokus kepada kemajuan teknologi termasuk Revolusi Industri 4.0 dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2030.

“Kerajaan negeri turut merancang untuk mewujudkan kawasan khas sub-sektor bagi daerah-daerah yang berkenaan mengikut kekuatan sumber ekonomi di wilayah terbabit.

“Antara visi pembangunan membabitkan wilayah di Johor Utara yang disasarkan adalah menjadikan Muar dan Segamat sebagai hab pengeluaran lembu daging dan tenusu di Malaysia menjelang 2030, menjadikan Segamat sebagai hab pertanian dan industri asas tani selain memposisi Segamat sebagai Agricultural Powerhouse Johor menjelang 2025,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor