KERAJAAN JOHOR RANCANG WUJUDKAN HAB PERMOTORAN DI AYER HITAM


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor merancang untuk mewujudkan hab permotoran di bandar Ayer Hitam, dengan cadangan pembinaan bermula pada awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, hasrat tersebut akan membabitkan penggunaan tanah seluas tujuh ekar milik Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, KDN di bawah pentadbiran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) telah membenarkan agar tapak tersebut digunakan untuk manfaat pencinta sukan permotoran.

“Berdasarkan kepada rekod penganjuran masa lalu, Ayer Hitam adalah sebuah pekan yang telah banyak menganjurkan acara sukan permotoran sebelum ia terhenti sekitar tahun 2018 dan 2019.

“Ayer Hitam yang biasa menganjurkan sukan permotoran CubPrix, Motorcross, Pocket Bike, Mountain Bike dan pada satu ketika drift dan juga go-kart, turut mempunyai rangkaian aktivis serta pencinta sukan permotoran yang pelbagai.

“Dengan ini kerajaan negeri berhasrat untuk menghidupkan kembali kemeriahan sukan permotoran yang telah bermula di situ,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Mohd Hairi berkata, pembinaan hab tersebut kelak akan menyemarakkan lagi sukan permotoran di Johor, selain lokasi strategik bandar Ayer Hitam yang terletak di tengah negeri ini.

Beliau turut memberitahu akan memastikan hab sukan terletak di Johor Bahru khususnya di Larkin akan ditambah baik di bawah kelolaan Perbadanan Stadium Johor (PSJ) dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

“Saya juga berharap setiap daerah di Negeri Johor ini juga akan diwujudkan fasiliti atau hab sukan buat para atlet yang tidak dapat ke Johor Bahru selain adanya Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).

“Dengan peranan Sports Johor Sdn. Bhd. sebagai agensi yang merancang penganjuran sukan bersama Tourism Johor bertaraf lokal dan antarabangsa, saya yakin penganjuran acara sukan pada tahun 2023 di Johor dapat dirancakkan lagi,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor