JALAN ULU TEBRAU – SUNGAI TIRAM DIBUKA SEMULA


Jalan Ulu Tebrau – Sg Tiram (Seksyen 3.50) yang sebelum ini ditutup berikutan kejadian cerun runtuh kini dibuka sepenuhnya untuk kegunaan umum bermula semalam | Sumber gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Jalan Negeri J08 menghubungkan Jalan Ulu Tebrau – Sg Tiram (Seksyen 3.50) kini dibuka sepenuhnya untuk kegunaan umum bermula semalam.

 

Perkara itu dikongsi oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

 

Menurut beliau, kejadian cerun runtuh di laluan itu telah berlaku pada 24 Januari lalu, dan terpaksa ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan.

 

“Kajian pergerakan tanah telah dilaksanakan dan kerja-kerja pemasangan cerucuk (sheet pile) sepanjang 30 meter telah dilaksanakan bermula pada 10 Februari 2023 dan siap sepenuhnya pada 21 Februari 2023 dengan kos RM200,000. Tempoh ini termasuk tiga hari pemantauan kadar mendapan di tapak.

 

“Saya faham, tempoh penutupan jalan ini mengganggu aktiviti seharian pengguna khususnya yang berulang-alik dari Seelong dan FELDA Ulu Tebrau ke Kota Tinggi sehingga ada yang mengambil risiko melalui jalan ini meskipun telah ditutup,” kata beliau di Facebook rasminya.

 

Mohamad Fazli turut memohon maaf atas kesulitan dihadapi pengguna sepanjang tempoh penutupan laluan terbabit, dan berterima kasih kerana memahami situasi sebenar keadaan runtuhan cerun itu.

 

“Jalan ini telah dibuka sepenuhnya bermula semalam, 22 Februari 2023 dan pengguna boleh menggunakan jalan ini seperti sediakala.

 

“Walaubagaimanapun, pihak JKR dalam proses memuktamadkan kaedah pembaikan tuntas antaranya ialah cadangan pembaikan secara ‘rock fill’. Ini adalah kerana cerun ini melebihi kedalaman 6 meter,” kata beliau.

 

Beliau memberitahu keselamatan jalan raya seluruh negeri ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan sebarang aduan serta cadangan dari semua pihak sentiasa dialu-alukan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor