TMJ KECEWA ADA PASUKAN ‘KEDEKUT’ JAGA PADANG


DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita baginda apabila terdapat pasukan tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan untuk menjaga padang di stadium / Gambar Ihsan JOHOR Southern Tigers.

 

ISKANDAR PUTERI — DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita baginda apabila mendapat maklumat terdapat pasukan tidak mahu mengeluarkan wang bagi penjagaan padang di stadium.
DYAM Tunku Ismail bertitah,  perkara itu adalah dapatan daripada hasil penyelidikan yang dilakukan oleh baginda sendiri sebelum ini.
 “Saya ingin memuji inisiatif yang dilakukan oleh Menteri Belia Dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan pihak kementerian (Belia dan Sukan – KBS) bagi memastikan stadium-stadium di Malaysia mempunyai padang bola sepak yang baik.
“Ketika sesi perbincangan bersama Menteri (Hannah) di Johor Bahru baru-baru ini, saya telah memberitahu beliau bahawa kos untuk satu padang bola sepak yang bagus tidak melebihi RM1 juta.
“Saya mencadang jika KBS boleh membantu bola sepak Malaysia dengan memberikan padang yang baik di kesemua 14 negeri dan ia kemudian diselenggarakan oleh pasukan bola sepak yang menggunakannya kerana padang adalah antara perkara utama dalam sukan ini. Saya gembira apabila YB Hannah bersetuju,” titah baginda yang disiarkan di laman media sosial JOHOR Southern Tigers, hari ini.
DYAM Tunku Ismail bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa baginda apabila mendapat maklumat terdapat pasukan bola sepak lain yang tidak mahu mengeluarkan dana bagi tujuan penjagaan padang bola di stadium.
“Namun, apabila saya melakukan penyelidikan dan mendapat maklumat, ada beberapa pasukan yang tidak berminat dan tidak mahu mengeluarkan wang untuk penjagaan padang meskipun ianya adalah perkara yang penting.
“Keadaan padang yang teruk ini juga adalah sebab mengapa negara jiran kita seperti Thailand, Vietnam dan lain-lain dapat menganjurkan kejohanan-kejohanan antarabangsa dan kita tidak, ” titah baginda.
Tanpa menyebut nama pasukan terbabit, DYAM Tunku Mahkota Johor turut mempersoalkan sifat kedekut pasukan tertentu untuk mengeluarkan perbelanjaan penyelenggaraan berkenaan meskipun sudah mendapat padang bola secara percuma.
“Kos penyelenggaraan adalah sekitar RM240,000. Takkan sudah dapat padang percuma tetapi tidak boleh menampung kos penyelenggaraan walaupun menerima bajet tahunan bernilai jutaan Ringgit?.
“Ini adalah akibatnya apabila ada pemilik kelab atau presiden bola sepak yang tidak mempunyai minat atau kecintaan terhadap bola sepak tetapi berada dalam industri bola sepak semata-mata untuk agenda peribadi,” titah baginda.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor